PRK Tenang: Siapa Akan Menang ?

Mohd Sayuti Omar
TINGGAL tidak sampai 20 jam lagi pengundian akan berlangsung di pilihan raya kecil Dun Tenang, Johor. Seramai 14, 753 pengundi berdaftar berhak membuang undi. Undi pos seramai lebih 170 pengundi terdiri dari polis dan pegawai SPR telah membuang undi. Dari jumlah itu seramai 7,000 pengundi Melayu, 5,700 pengundi Cina dan 1,700 pengundi India.

Mungkin kedua-dua parti sudah pun dapat mengagak berapa banyak undi yang diperolehi dan berapa majoriti yang yang diraih parti yang menang. Parti politik ada makenismenya tersendiri dalam membuat perhitungan ini. Dalam sistem bancian dan penculaan undi diamalkan di Malaysia membolehkan parti-parti politik mengenali sebanyak mana pengundi mereka. Biasanya 70% dapat dikenal pasti dan sekitar 30% undi saja yang samar. Tumpuan tegar kerap dilakukan kepada golongan dinamakan atas pagar ini.

Dalam pilihan raya kecil seperti Tenang ini tidaklah sukar untuk membuat ramalan mengenai keputusannya kelak. Biasanya trend pengundian tidak jauh berbeza dengan apa yang berlaku sebelum ini. Selalunya kalau pilihan raya kecil ia memberi kelebihan kepada parti kerajaan. Inilah yang tidak disukai oleh pihak pembangkang. Tetapi saya percaya kalau pembangkang berkesempatan memiliki agensi seperti parti kerajaan, Kemas, Kada, Feleda, polis dan sebagainya mereka juga mengamalkan perkara yang sama. Nama lagi demokrasi, tindak tanduk manipulasi dan hipokrasinya tidak jauh berbeza!

Agaknya siapakah yang akan menang besok? Siapakah yang akan memasuki ke Dewan Undangan Negeri Johor di antara "Sophia Loren" (Normala Sudirman) dengan "Mat Bok", (Azahar Ibrahim). Mari kita bermain dengan angka dan teka teki yang sudah hampir terjawab atau boleh memberi jawaban ini. Senario semasa dan laporan dalam berbagai-bagai media, cakap-cakap dan laporan sulit membantu kita membuat andaian ini.

Umno awal-awal lagi telah mendabik dada membuat provokasi kira-kira 4,500 orang pengundi di kalangan peneroka adalah miliknya. Di Tenang ada tiga kawasan Felda, Cempelak, Cempelak Barat dan Tenang. Peneroka adalah masyarakat yang dipelihara oleh kerajaan menerusi agensi pembangunan tanah dan sosial Felda.

Mereka ini berterima kasih kepada agensi berkenaan, tanpa mengira penat lelah yang mereka sendiri lakukan untuk memajukan diri mereka. Walaupun pulangannya tidak seberapa, tetapi mereka bangga dengan Felda. Orang miskin.. begitulah sangat merasai budi berbanding dengan orang lega (kaya). Mereka akan berterima kasih kalau hanya kulit pisang diberikan oleh orang kaya. Dia terlupa yang menanam dan membajai pisang itu sampai berbuah adalah dia. Titik peluhnya yang membesarkan benih yang disediakan orang kaya itu.

Selagi Felda masih didiami oleh peneroka awal, keadaan termakan budi dan menerima budi akan berterusan. Kecualilah sesudah anak-anak peneroka sudah pandai mengira, menghitung serta menimbangkan keadilan dan kesaksamaan barulah perasaan menerima dan merasa budi itu akan berakhir. Nah ketika itulah baru peneroka Felda tidak boleh dijerat oleh Felda hanya dengan kulit pisang tadi.

Bermakna masyarakat dalam Felda akan bebas dan tidak terikat dengan mengaggap Umno memberi makan kepada mereka setelah peneroka itu melairkan generasi ke 10. Untuk sampai generasi ke 10 ini perlu tunggu tahun 5050.

Apakah pada waktu itu bumi ini masih ada lagi? Saya bimbang takut Semanjung Malaysia sudah ditenggelam air akibat bencana atau bumi pecah dari bawah pantak Semanjung. Makanya harapan untuk melihat peneroka Felda berubah dan tidak merasai budi Umno akan sia-sia saja, sudah terlewat ketika itu. Justeru kalau para peneroka mahu bangkit membela kehidupan mereka dan mengambil hak mereka bertindaklah sebelum tahun 5050!

Berdasarkan kepada dakwaan Umno tadi, bermakan secara tunai mereka sudah ada sekitar 4,000 undi. Katanya ada kesedaran dalam kalangan peneroka Felda kerana mereka sudah insaf dan mendapat maklumat mengenai penganiayaan ke atas mereka. Katanya sokongan masyarakat Felda sudah merosot sekitar 10 %? Kalau ini benar bermakna Umno masih ada lagi 3,600 undi lagi tunai.

Keadaan ini menunjukkan Umno masih menang di ketiga Felda berkenaan. Apa yang Umno perlukan untuk menang sekitar 3,000 undi saja lagi untuk menjadikan 6,600. Mana-mana parti yang berjaya meraih 6,000 undi mereka akan menang. Dam sekiranya peratus keluar mengundi sekitar 80% ini bererti Umno boleh menang dengan majoriti yang tipis sekitar 500 undi saja.

Ini tidak susah bagi Umno. Bagi mengenapkan angka itu Umno hanya memerlukan sekitar 30 hingga 35 peratus undi dari kalangan orang Cina dan 50% undi India saja. Sekiranya Umno memperolehi 30 peratus (1,300) undi Cina dan 60% (850) bermakna Umno akan menang dengan majoriti di bawah 2,000 undi.

Mojoriti di bawah 2,000 walaupun UBN menang tetapi dari segi moralnya parti itu kalah. Keputusan itu memberi kegembiraan dan harapan besar kepada Pas. Ia akan ditafsirkan bahawa pengaruh dan kekuataan UBN merosot, apa lagi ia berlaku di dalam negeri kubu Umno Johor.

Saya pecaya dalam pilihan raya ini Pas tidak menanti kemenangan. Kekalahan adalah kenyataan yang sudah diterima seawal hari penamaan calon. Tetapi sebagai parti politik Pas mencuba untuk menawarkan perubahan dan pembaharuan kepimpinan kepada rakyat. Kerana itu kalau Pas menang besok ia dibantu oleh kuasa magic dan pertolongan ikkhlas dari malaikat di langit dan di bumi! Apakah mengarap kepada kuasa itu sesuatu yang praktikal?

Untuk masa depannya kejayaan Pas mengurangkan majoriti BN di bawah 2,000 undi adalah petanda tidak baik bagi Umno. Umno harus bersiap sedia untuk menyerahkan kerusi itu kepada Pas dalam pilihan raya umum akan datang dan sedia merasai keruntuhan sebuah negeri yang menjadi kubu kuat Umno sejak tahun 1946.

Tetapi dalam syok melayani analisa ini jangan terkejut kalau tiba-tiba Umno boleh pukul maut Pas dengan majoriti lebih 4,000 undi. Berpandukan senario ini kalau ini berlaku sudah pasti ada sesuatu yang tidak kena berlaku. Jangan lupa Umno akan mengemukakan strategi dan tektik baru pada setiap kali pilihan raya. Inilah kelebihan Umno dan UBN yang menjadi parti memerintah dan tidak pula diberi kepekaan oleh pembangkang.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan