Asqolani
KOTA BHARU, 23 Jan: Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) mengakui badan itu tidak ada ‘taring’ untuk bertindak terhadap aduan orang ramai, sebaliknya hanya sekadar memberi nasihat.
Pesuruhjayanya, Saani Abdullah berkata, badan itu tidak diberi kuasa untuk mengambil sebarang tindakan di atas aduan pencabulan hak asasi.
“Belum ada gigi taring lagi, sekarang hanya sekadar memberi nasihat sahaja,” katanya menjawab soalan moderator, Prof Madya Dr Abu Hassan Hasbullah pada forum anjuran Bersih di Balai Islam, malam semalam.
Bagaimanapun katanya, Suhakam bersedia membela sesiapa sahaja termasuk ahli akademik yang diundangkan ke forum tersebut sekiranya diambil tindakan pihak majikan.
Ini kerana kata beliau politik adalah hak bagi setiap rakyat yang tidak boleh diganggu gugat sesiapa pun.
Beliau juga meluahkan rasa hairan mengapa Kelantan tidak ada lebuh raya seperti di negeri-negeri lain, sedangkan rakyat negeri ini juga membayar cukai kepada kerajaan.
“Adakah rakyat Kelantan tidak bayar cukai kepada kerajaan, sedangkan di tempat lain ada banyak lebuh raya bagi memberi keselesaan kepada rakyat.
“Di negeri ini sekarang kesesakan lalu lintas agak teruk, namun hairannya masih belum dibina lebuh raya seperti di tempat-tempat lain,” ujarnya ketika menghurai persoalan itu di ruangan tempat penonton di bawah pentas.
Ahli panel forum Bersih 2.0 dibarisi anggota Exco kerajaan negeri, Datuk Husam Musa, pensyarah undang-undang UIAM, Prof Dr Abdul Aziz Bari dan bekas anggota Exco kerajaan Pulau Pinang, Datuk Dr Toh Kin Woon.
Forum tersebut mengupas tajuk Penjelasan Isu Undang-Undang dan Perlembagaan Negara. Hadir sama Pengerusi Penganjur Bersih 2.0, Dr Abdul Halim Yusof.
Sebelum ini Suhakam menerima banyak aduan ketidakadilan yang dilakukan pemerintah termasuk tahanan tanpa bicara dan tindakan kasar anggota keselamatan menyuraikan perhimpunan awam.
Dr Abu Hassan ketika celoteh awalnya mengingatkan, banyak negara termasuk Belarus dan terbaru Tunisia tumbang kerana sistem yang diamalkan pemerintah.
Pada ucapan alu-aluannya Dr Abdul Halim berkata, sejak tumbang rejim Suharto di Indonesia, negara terbabit kini semakin bebas dan terbuka untuk membolehkan rakyat bersuara.
Katanya juga perjuangan Bersih menuntut pilihan raya lebih bebas, telus dan bersih diadakan di negara ini.
”Ini membolehkan rakyat lebih matang dan berani menyuarakan hak mereka,” katanya.
Resolusi yang dibaca pada akhir forum menuntut kerajaan mengadakan daftar pemilih secara automatik, membaiki sistem pilihan raya, undi pos lebih telus, menggunakan dakwah, menggalakkan orang muda mengundi dan ruang demokrasi lebih luas.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan