Suruhanjaya Siasatan yang diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak hari ini akan juga menyiasat kematian pembantu politik DAP, Teoh Beng Hock dan hal keadaan yang menyelubungi dan membawa kepada kematiannya.
Ia antara dua terma khuus penubuhan suruhanjaya berkenaan.
"Untuk menyiasat sama ada atau tidak terdapat apa-apa ketidakwajaran dalam perjalanan pemeriksaan Teoh Beng Hock dalam perjalanan penyiasatan Laporan Shah Alam oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia," kata Najib dalam satu kenyataan media hari ini.
Najib juga berkata Suruhanjaya Siasatan ini dikehendaki menyelesaikan siasatannya dalam tempoh tiga bulan dari tarikh tauliah perlantikan dikeluarkan dan laporannya akan diserahkan kepada Yang di-Pertuan Agong.
Beliau juga menamakan hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri James Foong Cheng Yuen yang akan mengetuai Suruhanjaya Siasatan itu.
Suruhanjaya itu yang ditubuhkan mengikut Akta Suruhanjaya Siasatan 1950 juga akan dianggotai dua bekas hakim dan dua pakar forensik dan dibantu empat pegawai undang-undang.
Mereka adalah:-
- Bekas hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Abdul Kadir Sulaiman
- Bekas hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Selventhiranathan a/l Thiagarajah
- Pakar perunding patologi forensik, Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Pulau Pinang, Datuk Dr Bhupinder Singh
- Pakar perunding psikiatri forensik yang juga dekan Fakulti Perubatan Kolej Universiti Sains Perubatan Cyberjaya, Profesor Dr Mohamed Hatta Shaharom.
Selain itu, Datuk Saripuddin Kasim, Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri, dilantik sebagai setiausaha Suruhanjaya ini.
Amarjeet Singh a/l Serjit Singh (Timbalan Ketua Bahagian Guaman I), Awang Armadajaya Awang Mahmud (Timbalan Pendakwa Raya) dan Kwan Li Sa (Timbalan Pendakwa Raya), dilantik sebagai pegawai pengendali suruhanjaya itu.
Suruhanjaya itu ditubuhkan kerana pelbagai pihak tidak berpuas hati dengan Mahkamah Koroner yang pada 5 Januari lalu membuat penghakiman terbuka berhubung inkues Teoh, yang ditemui mati pada 16 Julai 2009.
Mahkamah memutuskan punca kematian Teoh bukan kerana bunuh diri mahupun dibunuh.
Mendiang Teoh dijumpai tidak bernyawa ketika disiasat SPRM selepas terjatuh dari tingkat lima pejabat SPRM Shah Alam.
-malaysiakini-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan