Harakahdaily
KUALA LUMPUR, 24 Feb: Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menetapkan 22 Mac ini untuk mendengar permohonan kerajaan Pusat untuk menjadi pencelah dalam kes saman kerajaan negeri Kelantan terhadap Petronas.
Hakim Datin Zabariah Mohd Yusof menetapkan tarikh tersebut di kamar beliau hari ini pada prosiding pengurusan kes buat kali pertama selepas saman itu difailkan oleh plaintif pada 30 Ogos tahun lalu.
Sebelum ini, kerajaan Kelantan menganggap langkah kerajaan Persekutuan yang mahu mencelah dan seterusnya menjadi defendan kedua dalam kes saman kerajaan negeri Kelantan terhadap Petronas sebagai pelik dan menimbulkan tanda tanya.
Exco kerajaan negeri Kelantan, Datuk Husam Musa sebelum ini berkata, keadaan itu pelik kerana pada kebiasaannya defendan memohon untuk dikeluarkan tetapi dalam kes ini pihak yang tidak dijadikan defendan mahu menjadi defenden pula.
Kerajaan negeri Kelantan telah menyaman Petronas kerana tidak memenuhi perjanjian yang dibuatnya untuk memberikan royalti minyak 5 peratus kepada kerajaan negeri.
Ia difailkan di Mahkamah Perdagangan atas dasar Petronas telah gagal memenuhi perjanjian yang ditandatangani itu.
Dalam saman ini, hanya Petronas yang dinamakan defendan oleh kerajaan negeri Kelantan.
Petronas disaman kerana tidak memenuhi perjanjian itu dan memberikan wang itu kepada kerajaan pusat. Kerajaan Pusat pimpinan BN pula menyalurkan wang itu kepada Kelantan melalui Umno dan badan-badan yang diuruskannya di Kelantan bukannya kerajaan negeri yang dipilih oleh rakyat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan