Cerita Di Sebalik BN 3 – PR 0 Dalam Tempoh Sebulan.

BayangDiAir
Penyakit biasa manusia yang mudah lupa. Apabila sudah menang besar pada PRU12, isu empat tuntutan BERSIH padam macam  api pelita dipuput angin. Sebelum dan selepas PRU12, penulis sudah menyuarakan isu ini beberapa kali  melalui TKO dan akhbar Harakah. Impaknya tidak kedengaran baik daripada pemimpin BERSIH, PAS mahupun Pakatan Rakyat. Masing-masing ghairah juga sibuk menguruskan pentadbiran negeri-negeri dan mengadakan majlis ceramah penerangan dan penyerangan. Isu dakwat, media, daftar pemilih dan undi pos bagai bukan faktornya lagi dalam merealisasikan hasrat mengambil alih Putrajaya. Pengundi hantu pula tidak wujudkah lagi? 

Keputusan PRK Tenang, Kerdau dan Merlimau memberikan senyuman buat BN. BN boleh mengadakan PRU13 pada bila-bila masa sekarang. Kata Najib, PRU13 mungkin sudah hampir. Mungkin serentak dengan pilihan raya negeri Sarawak dan mungkin sebelum November ini. Ya, maksimum tinggal 7 bulan lagi. Dalam tempoh ini, BERSIH baru hendak digerakkan semula. Itu pun macam kerja PAS sahaja. Seolah-olah PKR dan DAP tidak terkesan dengan gelanggang demokrasi yang tidak adil itu. Juga seolah-olah Pakatan Rakyat itu suatu pakatan yang longgar  - sinikalnya masalah tuntutan BERSIH ialah masalah PAS, maka biarkan PAS uruskannya. 

Cukupkah 7 bulan untuk SPR dan kerajaan melaksanakan transformasi demokrasi? Jawapannya, cukup bagi pihak-pihak tersebut jika ada kemahuan dan kejujuran. Namun berdasarkan kilat ikan di air, SPR dan kerajaan akan bertindak dalam pilhan tiga wajah iaitu, bertindak bagai lembu kenyang sambil mempertahankan amalan yang sedia ada. Kedua, bermain tarik tali dan sorong papan tarik papan yang akhirnya tidak akan ke mana-mana. Ketiga memberi sedikit sentuhan kosmetik yang boleh dijadikan alasan bahawa penambahbaikan telah dilakukan. 

Kesimpulannya, Pakatan Rakyat ( bukan PAS sahaja) mesti memulakan desakan yang kuat meskipun telah agak terlewat. Kalau perlu, hantar memorandum kepada Yang Dipertuan Agong agar tidak memperkenankan pembubaran parlimen sehinggalah empat tuntutan BERSIH dilaksanakan. Sekiranya gerakan massa yang cintakan demokrasi lemah dan longlai, maka mulai saat ini janganlah lagi didegar-degarkan slogan “menuju ke Putrajaya”. Cukuplah jaga negeri-negeri yang dimiliki agar tidak jatuh satu-persatu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan