Halau Jin Pakai CD

Selatanobline
RUTIN harian Ahmad Husin, 35, seperti insan biasa lain. Usai bersarapan, pemegang diploma teknologi maklumat dari sebuah kolej tempatan ini bingkas bangun melayan pesakit yang bertandang ke premisnya yang terletak di hadapan Masjid Jumhuriyah, Taman Dato’ Haron, Petaling Jaya, Selangor.

“Ada rasa sakit kepala, dada, tulang belakang atau rusuk selepas waktu Asar?” soalnya pada pesakit lelaki berusia lewat 40-an itu.

Tebak Ahmad lagi setelah jawapan negatif diberikan, selalukah mendapat mimpi dipatuk ular, jatuh dari tempat tinggi atau berada di lokasi sunyi dan kotor?

Juga negatif jawapan pesakitnya, Ahmad menggunakan pula pendekatan refleksologi untuk mengesan gangguan jin dengan cara memicit telapak tangan, lengan, ibu jari kaki dan pelipat lutut.

Oleh kerana kesemua lokasi yang ditekan tidak meninggalkan sensasi mencucuk seolah-olah renjatan elektrik, pesakit tadi disahkan bebas daripada gangguan jin atau sihir.

“Mungkin rasa sakit-sakit dan lenguh badan ini disebabkan kecederaan lampau,” ujarnya menyampaikan resolusi.

Pengalaman selama lima tahun Ahmad dan keberkesanan rawatan terapi al-Quran membuatkan Ahmad dipercayai pesakit.

Menurutnya, terapi yang berteraskan Rukyah Assyariah iaitu ayat tertentu daripada al-Quran dan doa yang selari dengan syariat ini bukan bidang baru dalam perubatan Islam.

Memperoleh ilmu daripada gurunya di Kedah, Ustaz Abdul Malik Lazim, Ahmad berkata membacakan ayat-ayat Rukyah kepada pesakit adalah kaedah yang paling afdal dalam menyingkirkan jin daripada tubuh seseorang.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan