Jangan bayar kompaun saman ekor - Kase

Nazri Abdullah
KUALA LUMPUR, 10 Mac: Jawatankuasa Kempen Anti Saman Ekor (Kase) menasihatkan mangsa saman ekor agar tidak membayar kompaun yang dikenakan biarpun tempoh promosi pembayaran berakhir hari ini.

Pengerusinya, Datuk Mahfuz Omar yang juga ahli Parlimen Pokok Sena berkata, sekiranya selepas ini mereka disenarai hitam, Kase akan membantu untuk berdepan masalah tersebut di mahkamah.

"Rakyat tidak perlu bayar, yang penting ambil insurans bawa ke JPJ untuk perbaharui cukai jalan, kalau JPJ tak benar, wajib pengarah JPJ kena bagi jawapan bertulis, kenapa.

"Kemudian bawa insurans dan surat itu, kalau polis tahan, biar dia saman, kita lawan di mahkamah," katanya ketika ditemui selepas membangkitkan perkara itu di parlimen semalam.

Tambahnya, keputusan sama ada seseorang itu bersalah dan perlu membayar kompaun hanya ditentukan mahkamah, dan bukan oleh notis saman yang dikeluarkan.

Menurutnya lagi, tindakan JPJ menyenarai hitam pesalah saman ekor adalah salah mengikut keputusan Mahkamah Kucing dalam kes Leonad Lim Yaw Chiang melawan Pengarah JPJ negeri Sarawak pada 2007.

Dalam kes itu hakim memutuskan bahawa tindakan JPJ menyenarai hitam mengikut Seksyen 17(1)(d) adalah tidak betul dan bertentangan dengan Perkara 13 Perlembagaan Persekutuan.

"Kita minta Peguam Negara nasihat JPJ supaya akur keputusan mahkamah iaitu tak boleh blacklist.

"Rakyat tidak boleh dipaksa membayar kompaun yang ditawarkan," katanya.

Dalam pada itu, Mahfuz yang juga Naib Presiden PAS turut mempertikai tindakan kerajaan yang didakwa akan menggunakan teknologi Redflex dalam Automatic Enforcement System (AES).

Katanya, teknologi itu telah dipertikai banyak pihak termasuk di California Amerika Syarikat dan di Arizona.

"Kenapa guna teknologi yang sudahpun dipersoal.

"Dan kenapa syarikat swasta Beta Tegap dan commercial Circle diberi hak pengendalian, sedangkan teknologi guna yang Redflex punya.

"Kenapa kerajaan tak kendalikan sendiri guna teknologi sama, kenapa perlu orang tengah?" soalnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan