Tukar 499 jadi pengundi pos, apa penjelasan SPR?


KELANTAN: Ahli Parlimen Machang, Saifuddin Nasution Ismail mendesak Suruhanjaya Pilihan raya (SPR) memberi penjelasan mengenai perbuatan pihak tertentu menukar 499 pengundi biasa kepada pengundi pos walaupun mereka tidak pernah memohon untuk mengundi secara pos.
Beliau percaya, perbuatan yang menambahkan bilangan pengundi pos di sesebuah kawasan itu, berlaku berikutan wujud penipuan terancang bagi memenangkan calon pilihan mereka.
“PAS di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kok Lanas mendapati ada pertambahan nama pengundi pos seramai 449 orang yang semuanya beralamat di 16 Rejimen Asmar Melayu DiRaja (RAMD) di Kem Desa Pahlawan.
“Semua nama itu, asalnya pengundi biasa tetapi Daftar Pemilih Tambahan (DPT) terbaru menunjukkan nama mereka dikategori sebagai pengundi pos,” katanya pada sidang media di Parlimen, baru-baru ini.
Kata beliau, bantahan dibuat dan satu pendengaran awam dilakuan Pendaftar Pemilih Kelantan yang akhirnya memutuskan semua 449 nama itu dikeluar dari senarai pengundi pos kerana tiada seorangpun antara mereka yang mengisi Borang A.
Beliau berkata, Borang A adalah borang perpindahan yang wajib diisi mana-mana pengundi yang mahu menukar status pengundian, sama ada memilih untuk mengundi secara pos atau menukar lokasi mengundi.
Sehubungan itu, Saifuddin mendesak SPR menyiasat dalang sebenar yang membuat penipuan itu.
“Isunya ialah siapakah pelaku ini? Kalau mereka ini tidak mengisi borang, mengapa nama mereka ini terdapat dalam DPT.
“SPR kena jawab perkara ini. Apakah SPR ada mekanisme menjejaki penipuan ini,” tegas Saifudin lagi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan