16 April: Tsunami ke-2 Politik Malaysia

setisab
KUCHING. SARAWAK: Gempa bumi dan Puting beliung dikatakan terus melanda Sarawak yang menyaksikan program-program ceramah anjuran Pakatan Rakyat terus mendapat sambutan hebat dan luar biasa.

Malah, jumlah yang hadir dikatakan melebihi daripada jangkaan pemimpin pembangkang sendiri, sehingga penasihat DAP, Lim Kit Siang sebelum ini menyifatkan puting beliung sedang melanda negeri itu.

Pengarah Strategi KEADILAN pula menyifatkan ia  sebagai gempa bumi- sebelum meletus gelombang ombak besar ‘tsunami’ 16 April ini iaitu hari penentuan rakyat Sarawak memilih kerajaan baru.“Sambutan yang kita terima sangat baik dalam tempoh bermula kempen sehingga hari ini. Kalau di kawasan bandar, jumlah kehadiran ceramah-ceramah Pakatan Rakyat mencecah 10 ribu hingga 11 ribu orang. Di kawasan bandar gelombang itu sangat jelas malah kutipan untuk pakatan sahaja mencecah berpuluh ribu ringgit,” katanya.

Secara berseloroh, Rafizi berkata, BN tidak boleh memberikan alasan bahawa jumlah itu disebabkan kehadiran ramai pegawai polis dari cawangan khas, kerana mereka yang hadir turut menderma kepada Pakatan.
Malah katanya, kempen Pakatan di kawasan pedalaman turut mendapat sambutan  luar biasa dan tidak pernah berlaku dalam sejarah politik di Sarawak kali ini.
Ia ternyata berbeza pada Pilihan Raya Negeri Sarawak 2006 dan sebelumnya- apabila pembangkang dikatakan langsung tidak mempunyai tempat untuk berkempen di kawasan pendalaman.
‘Kini apabila pemimpin-pemimpin utama KEADILAN seperti Datuk Seri Anwar Ibrahim, Azmin Ali dan Saifuddin Nasution datang ke rumah panjang, tuai rumah atau pemimpin utama rumah panjang membuat upacara istimewa menyambut kehadiran mereka,” ujarnya.
Kata Rafizi, keadaan itu kini benar-benar menggusarkan Najib sehingga terpaksa berkampung dan membawa satu ‘batalion kabinet’ ke negeri itu bagi mempertahankan Sarawak dari jatuh ke Pakatan Rakyat.
Najib kini dikatakan membatalkan semua programnya di semenanjung untuk memberi tumpuan sepenuhnya kepada pilihan raya negeri itu, yang juga dilihat tidak pernah berlaku dalam sejarah sebelum ini.
“Apabila Najib turun berkampung membawa 1 barisan menteri kabinet di sini, ia membawa petanda baik kepada Pakatan,” tambah beliau.
Katanya lagi, keadaan BN Sarawak yang kini sudah berpecah belah dan bertelingkah sesama sendiri, memberi satu kelebihan kepada Pakatan Rakyat.
Malah Taib Mahmud juga dikatakan sudah lagi tidak sebulu dengan tindak tanduk Najib, apabila bertindak memboikot beberapa program yang dihadiri Presiden Umno itu.
Ia berikutan desakan Najib supaya Taib berundur sebagai Ketua Menteri Sarawak, selepas pilihan raya tersebut, dan campurtangan Najib yang berlebihan dalam pilihan raya itu.
Namun, Rafizi mengingatkan jentera Pakatan supaya bersiap sedia menghadapi sebarang strategi dan taktik Umno khususnya menjelang saat-saat terakhir pengundian.
“Dua hingga tiga hari sebelum hari mengundi mereka akan tabur duit, mereka akan sabotaj untuk mendapat undi. Ini kerana mood rakyat sedang bersama kita. Kita bimbang BN akan menggunakan sepenuhnya 3M- jentera kerajaan, wang ringgit dan media untuk sabotaj Pakatan Rakyat.
“Mereka akan gunakan fitnah dan sebab itu jentera kita perlu disusun sebaik mungkin” ujar beliau.
Sambutan luar biasa terhadap program Pakatan berlaku di Kuching semalam di mana jumlah hadirin dijangka melebihi 10,000 orang. Jumlah terbesar adalah di Batu Kawah yang dianggarkan tidak kurang daripada 12,000 orang.
Tiga pemimpin utama Pakatan rakyat, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan penasihat Dap, Lim Kit Siang, menyemarak sambutan rakyat Sarawak, sehingga jalan menuju ke tempat ceramah sesak teruk sejauh 6 kilometer.
Isu video seks palsu langsung tidak memberi kesan kepada pengundi, malah ketika Anwar menyebut mengenainya, kebanyakan yang hadir tertawa  menunjukkan mereka tidak mempercayai tuduhan jahat berkenaan.
Dalam beberapa ceramah sebelum ini seperti di Miri, Senadin dan Bintulu, jumlah kehadiran dijangka melebihi ribuan orang, satu angka yang cukup luar biasa bagi situasi rakyat di Sarawak yang selama ini dianggap konservatif  BN.
Meskipun sesetengah pihak mendakwa , jumlah kehadiran yang begitu ramai belum tentu menjamin kemenangan, namun ia ternyata membangkitkan gelombang dan sentimen rakyat Sarawak yang semakin ghairah untuk menggulingkan Taib Mahmud menjelang 16 April ini. - KR
News on SARAWAK STATE ELECTION. - News on PAKATAN

Tiada ulasan:

Catat Ulasan