MELAKA: Vokalis kumpulan Spring, Ameng dijatuhi hukuman penjara lapan tahun dan 10 kali sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini semalam selepas mengaku bersalah atas tiga pertuduhan memiliki dadah dan memasukkan bahan itu ke dalam badannya pada awal Februari lalu.
Hakim Abu Bakar Katar memutuskan Ameng atau nama sebenarnya Wan Aminuddin Wan Ismail, 43, dipenjara lapan tahun serta hukuman sebatan maksimum 10 kali bagi pertuduhan pertama dan penjara dua tahun bagi pertuduhan kedua kerana kesalahan memiliki dadah.
Sementara itu, bagi pertuduhan ketiga iaitu memasukkan dadah ke dalam badan, Ameng dipenjara setahun serta dua tahun perlu berada di bawah pengawasan polis.
Ketiga-tiga hukuman yang diputuskan itu diarahkan berjalan serentak bermula dari tarikh tangkapan pada 1 Februari 2011.
Dalam pada itu, isteri Ameng iaitu Sabariah Zakariah, 41, yang sebelum ini turut berhadapan dua pertuduhan serupa iaitu memiliki dadah dibebaskan oleh mahkamah selepas ketua unit pendakwaan bersetuju menggugurkan pertuduhan terhadap wanita itu.
-kosmo-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan