Pengumuman Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Ismail Omar bahawa video ‘Datuk T’ adalah tulen tidak sama sekali membuktikan bahawa Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah pelaku dalam video itu.
Demikian dinyatakan Naib Presiden KEADILAN, N Surendran, sebagai reaksi kepada pengumuman KPN hari ini bahawa video itu adalah tulen.
Surendran turut mempersoalkan mengapa KPN terburu-buru membuat pengumuman itu walau pun siasatan belum lagi lengkap. Malah, ia merupakan satu lagi usaha mengalih tumpuan (red herring) dan bersifat politik untuk memburukkan reputasi Anwar, kata Surendran.
“Perkara yang ingin diketahui orang ramai adalah mengapa polis dan Peguam Negara belum memulakan tindakan terhadap ketiga-tiga orang itu yang sudah membuat pengakuan bersalah memiliki dan menayangkan video lucah yang merupakan kesalahan di bawah Seksyen 292 Kanun Keseksaan dan Seksyen 5 Akta Penapisan Filem 2002?” tanya Surendran.
Beliau seterusnya menggesa KPN agar tidak mengikut rentak BN dan menjalankan siasatan secara adil, saksama dan profesional.
“Kami menggesa KPN dan Peguam Negara menghentikan taktik melengah-lengahkan siasatan dan mengambil tindakan segera terhadap penjenayah sebenar dalam tayangan video itu,” kata Surendran.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail dalam sidang media tergempar di Pusat Latihan Polis (Pulapol) hari ini membuat pengumuman bahawa video seks yang ditayangkan kepada umum oleh trio ‘Datuk T’ adalah tulen. Namun, Ismail tidak pula mendedahkan siapa pelakon di dalam video itu./KD
Tiada ulasan:
Catat Ulasan