Gadis hamil tujuh kali dirogol bapa tiri


KUALA LUMPUR: Setelah menggugurkan anak tujuh kali akibat dirogol bapa tirinya selama 14 tahun, seorang guru lepas universiti bertindak melarikan diri, mendapatkan perlindungan di pusat kebajikan dan mengadu kepada polis. 


Wanita berusia 28 tahun yang mahu dikenali sebagai Nora berkata, episod malang itu bermula di sebuah kampung di Kedah sejak ibunya berkahwin dengan bapa tirinya lebih 15 tahun lalu. 

Ketika usianya tujuh tahun, bapa tirinya yang ketika itu berusia kira-kira 40 tahun, kerap mencabul kehormatannya. 

Dia mendakwa, bapa tirinya itu samseng kampung dan sering mengugut akan membunuhnya jika tidak mengikut kemahuannya atau cuba mengadu. 

“Dia mula merogol saya ketika berusia 11 tahun dan perbuatan itu berterusan sehingga saya berumur 25 tahun. 

“Dalam tempoh itu, saya pernah hamil tujuh kali sehingga usia kandungan mencecah dua hingga tiga bulan,” katanya ketika ditemui di Wisma MCA di sini, semalam. 

Nora, yang berasal dari Sik, Kedah berkata, bapa tirinya itu sangat licik dan akan membawa dia ke klinik untuk menggugurkan kandungannya. 

Menurutnya, kehidupan dan pergaulannya sentiasa dikongkong bapa tirinya sejak zaman persekolahan sehingga dia memasuki Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA), kira-kira lapan tahun lalu. 

“Dia tidak membenarkan saya berkawan dan akan menjemput saya setiap kali pulang dari sekolah atau universiti. Dalam tempoh itu, dia akan membawa saya ke rumahnya yang lain atau mana-mana tempat, termasuk hutan, untuk memuaskan nafsunya,” katanya. 

Menurutnya, dia cuba mempertahankan diri setiap kali perkara itu berlaku, tetapi akan dipukul teruk. 

Pernah kakinya lebam dan berdarah kerana dihentak ke dinding. 

Menurutnya, dia sangat tertekan dan trauma kerana tidak berani meminta tolong atau melaporkan hal itu kepada polis. 

Menurutnya, pada 23 November 2008, dia tekad melarikan diri dari Sungai Petani selepas dirogol bapa tirinya. 

“Saya tidak tahan dengan perbuatannya itu dan cuba mendapatkan bantuan sebuah pusat kebajikan di Pulau Pinang, sebelum dibawa ke balai polis untuk membuat laporan. 

“Kini, saya tinggal di tempat yang selamat, tetapi masih berhati-hati kerana saya yakin dia tidak akan melepaskan saya. Saya berharap polis dapat menahannya segera untuk dibawa ke muka pengadilan,” katanya. 

Ketua Jabatan Pengaduan Awam MCA, Datuk Michael Chong berkata, pihaknya bersama Pengerusi Biro Aduan Komuniti Pemuda UMNO, Datuk Muhammad Khairun Aseh akan membawa perkara itu ke Bukit Aman untuk tindakan lanjut.
-sinarharian-

Tiada ulasan:

Catat Ulasan