Harakahdaily
KUALA LUMPUR, 4 Mac: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mesti serius dan menampakkan kesungguhan membuat penambahbaikan undi pos, bukan hanya ‘pindaan celah gigi’ yang tidak membetulkan ketempangan proses pilihan raya khususnya yang berkaitan dengan undi pos.
Sehubungan itu, Dewan Pemuda PAS Pusat mencadangkan beberapa perkara bagi menjadikan SPR serius membuat pindaan dengan memberi peluang membuat pengundian awal secara beramai-ramai.
Ketua penerangannya, Suhaizan Kayat berkata, pengundi pos tidak perlu mengisi borang 2 yang bermaksud bahawa mereka seperti pengundi awam tetapi yang membezakan mereka mengundi awal dan diberi tempoh masa yang mencukupi.
“Dewan Pemuda PAS ingin mencadangkan bahawa pindaan ini hendaklah mengambil kira persoalan masalah birokrasi dalam proses pengundian,” ujarnya dalam satu kenyataan.
Beliau menyatakan demikian sebagai respons berhubung pindaan dalam sistem undi pos yang bakal dibentangkan di parlimen pada tahun ini.
Katanya, pindaan itu perlu dengan jelas menyatakan bahawa pihak SPR mempunyai kuasa penuh menguruskan proses pengundian di tempat yang telah ditetapkan.
Ini, tambahnya bagi mengelakkan campurtangan daripada pihak pengurusan kem atau balai polis yang boleh memberi ruang kepada manipulator mencatur manipulasinya.
SPR, katanya hendaklah membuat pindaan berkenaan kaedah kempen di dalam kem atau balai polis, bagi mereka yang berada di luar negara mereka seharusnya boleh mengundi di kedutaan Malaysia di luar negara.
Tambahnya, kepada mereka yang mempunyai tugas kritikal pada hari mengundi sahaja yang dibenarkan untuk membuat pengundian secara pos.
Selain itu, ujarnya parti-parti yang bertanding adalah client atau pengguna kepada SPR, maka sudah sewajarnya parti-parti itu dilibatkan dalam membuat pindaan terhadap undi pos.
Baginya, cadangan pindaan undi pos yang dicadangkan oleh SPR membuktikan bahawa terdapatnya kepincangan serius dalam pengundian pos seperti yang telah Pemuda PAS dedahkan sebelum ini.
Menurutnya, kenyataan Dewan Pemuda PAS sebelum ini bahawa sistem pengundian undi pos sangat terdedah kepada manipulasi dalam pilihan raya.
Katanya, contoh yang paling jelas adalah kertas undi boleh dibawa pulang ke rumah masing-masing oleh pengundi selama 4 hari di mana dalam tempoh masa ini kertas undi sangat terdedah kepada manipulasi.
Di samping itu, katanya kedudukan tempat mengundi di dalam kem menyebabkan masalah biokrasi yang serius antara SPR, pengurusan kem dan parti-parti yang bertanding.
Selain itu, tambahnya adalah berkenaan masalah kempen di mana hanya parti pemerintah sahaja yang dibenarkan oleh pihak kem untuk berkempen dalam kem.
Persoalannya, kata beliau bagaimana pilihan raya Sarawak yang akan berlangsung pada 6 hingga 16 April 2011 kerana ia berlaku sebelum pindaan terhadap undi pos dilaksanakan.
Oleh itu, katanya manipulasi undi pos boleh berlaku dalam pilihan raya negeri Sarawak.
“Maknanya pilihan raya Negeri Sarawak dilaksanakan dalam tempoh kepincangan undi pos. Keadilan tidak dapat ditegakkan dalam pilihan raya ini kerana adanya undi pos,” katanya.
Katanya lagi, persoalannya adakah rakyat negeri Sarawak mendapat keadilan untuk menentukan pemerintah di negeri mereka sedangkan kepincangan undi pos masih berlaku dalam pilihan raya itu.
Menurutnya, jika pilihan raya umum berlaku pada Jun 2011, maka sekali lagi negara menghadapi kepincangan undi pos dan kerajaan Malaysia bertanggungjawab terhadap kepincangan itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan