Video lucah selamatkan Najib

 MOHD RASHIDI HASSAN | rashidi@harakah.net.my
SEWAKTU berada di luar negara sepanjang minggu lalu, penulis dihujani dengan banyak SMS, emel serta beberapa panggilan terlepas (missed call) dari rakan taulan dari Malaysia.

Oleh kerana berada dalam zon masa yang berbeza, penulis pada awalnya hanya 'ignore' sahaja semuanya.

Namun, selepas menyelesaikan beberapa urusan, penulis membuka telefon tangan dan membaca beberapa SMS, antara lainnya tertera:

"Salam..anta ke wartawan HARAKAH yang tengok video seks pemimpin Pakatan Rakyat?"

"Awat hang pi (pergi) tengok seorang?"

"Betul ke Anwar dalam video tu?"

Semua SMS tersebut tidak dibalas penulis, kerana ia tiada kaitan sama sekali dengan penulis. Kalau hendak dijawab pun' penulis tidak arif butiran mengenainya.

Sebelum berlepas keluar negara, penulis sempat mencatatkan sebuah artikel yang berkaitan kes liwat Dato' Seri Anwar Ibrahim, yang banyak membongkarkan konspirasi jahat pihak atasan Umno-BN.

Dalam sesi akhir perbicaraan sebelum ditentukan, kes ada prima facie atau tidak, segala penghujahan pendakwaraya sudah tertolak dan berjaya dibuktikan ianya tidak berasas.

Belumpun isu penipuan kes liwat selesai, timbul lagi satu isu panas, masih lagi berkaitan dengan Anwar.

Penulis sudah mengagak bahawa orang yang didakwa menonton video terbabit sudah tentunya wartawan kanan HARAKAH, Wan Nordin Wan Yaacob, kerana selain penulis, jika isu-isu berkaitan high-profile sebegini, selalunya diuruskan kami berdua.

Lantas penulis menghubungi beliau. Wan Nordin mengesah beliau diperangkap pihak tentu untuk dibawa menonton video lucah terbabit.

Alasan yang diberikan untuk menjustifasikan, mengapa beliau harus menonton video terbabit ialah 'demi PAS, PAS harus tahu siapa Anwar.'

Malah salah seorang daripada Dato' T tersebut menangis di hadapan wartawan, kononnya Anwarlah di dalam video dan beliau mempunyai perilaku yang menjijikkan. Oleh sebab itu PAS kata mereka, tidak harus berkawan dengan Anwar.

Pada pengamatan penulis, alasan inilah yang sering dihujahkan orang Umno kepada pemimpin PAS. Iaitu Anwar berakhlak buruk, PAS tidak boleh berkawan dengannya.

Sebaliknya Umno pula yang mendabik dada, kononnya mereka suci bersih, yang ikhlas berjuang untuk agama Islam dan bangsa Melayu.

Bagi mereka Anwar begitu kotor. Umno lah yang bersih. Dengan sebab itu mereka menghulurkan tangan 'perpaduan', mengajak PAS bekerjasama membentuk kerajaan negeri dan Pusat.

Jika kita hendak menghujahkan isu moral, akhlak dan peribadi, Umno dan pemimpinnya tidak layak sama sekali untuk berbicara soal ini.

Kerana sesiapa yang pernah masuk dalam Umno sahaja, yang mengetahui betapa rendahnya moral mereka.

Buruknya perilaku pemimpin Umno, sudah diungkapkan dalam novel SHIT karya Dato' Shahnon Ahmad. Shit yang dimaksudkan adalah najis atau tahi dalam bahasa pasar disebut taik. Kalau orang utara, lidah mereka tidak pandai sebut tahi, kalau mereka sebut taik, dengan 'qalqalah' dan 'idgham'nya sekali.

Menyentuh tentang taik ini, penulis teringat kata-kata al-Marhum Dato' Fadzil Mohd Noor, dalam suatu ceramah di Markaz Tarbiyyah PAS Pusat Taman Melewar.

Kata beliau, "Umno ni ibarat tong taik, kalau kita nak cuci tong taik, kita kena cuci dari luar, bukan cuci dari dalam, kalau kita masuk dalam tong, dengan kita sama-sama jadi taik."

"Ha, ha, ha," mengilai besar aruah Pak Din Hancur, penyokong kuat PAS, yang sering duduk depan stage tiap kali Presiden PAS itu berucap.

Kiasan Ustaz Fadzil itu amat tepat dan bernas jika kita hendak kaitkan isu yang dihadapi Anwar kini.

Ustaz Fadzil mengkiaskan kekotoran dengan najis taik dan Anwar katanya, tidak akan mampu mencuci najis-najis tersebut dari dalam tong.

Apa yang dihujahkan Ustaz Fadzil ada kebenarannya. Akhirnya, walaupun sudah 13 tahun Anwar disingkirkan daripada Umno, najis-najis tinggalan Umno masih dipalitkan kepadanya. Poor Anwar.

Umno adalah yang begitu kotor, sentiasa dengan kekotoran, setelah gagal memalitkan Anwar dengan najis liwat pada tahun 1998 dan mereka mengulanginya pada 2008 (juga sudah gagal), maka kini hendak dimusnahkan Anwar dengan isu video pula.

Persoalannya di sini, apakah Anwar boleh dijatuhkan dengan isu video ini? Atau apakah dengan isu ini, karier politik Anwar boleh dimusnahkan?

Jika kita mengimbas kembali peristiwa 1998, di mana Anwar sudah dipersalahkan dan ditelanjangkan oleh media talibarut Umno-BN, jauh sebelum beliau dibicarakan.

Selepas beliau dipukul, dianiaya dan dipenjarakan, akhirnya didapati segala tuduhan yang dipalitkan kepadanya, tidak berasas.

Serupa juga dengan kes 2008. Di mana media massa dan pemimpin Umno sudah mempersalahkan Anwar, belum pun kes yang didakwa Mohd Saiful Bukhari Azlan bermula.

Dua tahun lagi Anwar menanggung cacian yang menjijikkan kerana beliau digambarkan seolah-olah beliau kaki liwat dan suka kaum sejenis.

Sebaliknya, apabila kes mula dibicarakan, segala perancangan jahat Umno-BN mula terbongkar satu persatu.

Semua hujah pendakwaraya dan saksi mereka berjaya dipatahkan satu persatu. Dakwaan Saiful berjaya dibuktikan, wujud keraguan yang banyak.

Malah alibi yang dikaitkan dengan DNA milik Anwar, ditolak oleh mahkamah.

Maka apabila pihak tertentu mendapat bayangan mereka akan kalah dalam kes liwat II, maka mereka mula merancang untuk mencemarkan maruah Anwar dalam aspek yang lain pula.

Siapa mereka ini? Jawab seorang pembantu kanan kepada seorang bekas Menteri yang ditemui penulis Isnin lepas di Parlimen, katanya, "Bagi saya konspirator utama tetap Tun Dr Mahathir Mohamad.

"Cuba you selidik, semua Dato' T ini rapat dengan siapa. Khabarnya sejurus sebelum video didedahkan, beliau berlepas ke Argentina," ceritanya.

"Susah juga nak establish connection Tun M dalam isu ini," getus penulis.

"Tak apalah..itu keja you cari maklumat..I hanya hendak beritahu you, bahawa Mahathir memang takut Anwar jadi PM (Perdana Menteri).

"Kalau Anwar naik, habis dia anak beranak, mana dia nak sembunyi kekayaan anak-anaknya," kata beliau bersungguh-sungguh.

Panjang lebar beliau menghurai peranan Mahathir yang didakwanya terbabit mengatur banyak langkah kononnya untuk membantu Perdana Menteri, Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak. Apa agenda Mahathir, apa yang dilakukannya, boleh dibicarakan dalam sesi yang lebih khusus.

Buat masa ini, bagi penulis, Umno-BN tidak ada jalan lari selain membunuh karektor peribadi Anwar, kerana hanya melalui Anwar parti-parti pembangkang dapat bersatu menentang BN.

Banyak usaha memalitkan Anwar dengan jenayah menemui jalan buntu. Soal betul atau tidak, soal konpirasi akan terbongkar, bagi mereka itu cerita kemudian.

Yang penting, dalam waktu yang singkat ini, dengan sengaja hendak menanamkan persepsi pada minda rakyat bahawa Anwar ini tidak baik dan tidak layak menjadi PM. Itu sahaja.

Sekurang-kurangnya pada tahap ini mereka berjaya memerangkap Pakatan Rakyat, terjebak kepada agenda yang mereka setkan.

Menerui agenda setting ini, Umno-BN berjaya mengalihkan serangan terhadap PM Najib, lalu ditumpukan kepada Dato' T. Habis semua penceramah Pakatan Rakyat menyerang Tan Sri Rahim Thamby Chik.

Agenda Buku Jingga dilupakan seketika. Skandal, rasuah, penyelewengan SPR, kelemahan SPRM, salahlaku Polis dan pelbagai isu-isu yang boleh menjatuhkan kredibiliti Najib dilupakan.

Ternyata, dalam kes video ini, mereka sudah berjaya menyelamatkan imej Najib dan Datin Seri Rosmah Mansor daripada tercalar.

Maka saran penulis, Pakatan Rakyat usah terjebak dengan perangkap Umno. Kita harus berada diposisi ofensif, bukan defensif. Strategi menyerang Dato' T tidak menguntungkan Pakatan Rakyat untuk jangka panjang.

Hentilah bahas isu video ini, fokuskan kepada Sarawak dan banyak lagi isu-isu pokok. Jangan beri ruang Umno-BN untuk 'bernafas' untuk menyerang balik Pakatan Rakyat.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan