Harakahdaily
KUALA LUMPUR, 3 April: PAS mengakui pernah ada satu ketika dahulu segelintir pemimpinnya mempromosikan pendekatan kafir mengkafir dan memboikot para penyokong dan pemimpin Umno.
Pemikiran dan pandangan sebegitu bukan pandangan dan pendekatan PAS tetapi pandangan sesetengah pemimpin ini yang sudah pun lari meninggalkan PAS dan menyertai Umno, yang mereka kafirkan dahulu, kerana tidak setuju dengan pendekatan PAS.
"Tetapi mereka sudah tidak ada dalam PAS lagi. Sama ada mereka menyertai Umno atau entah ke mana," kata Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dalam satu majlis sebelum ini.
Hari ini, akhbar Umno, Utusan Malaysia (gambar) menyiarkan pengakuan bekas ahli PAS yang mengakui pernah pulau sembahyang yang diimami ahli atau pemimpin Umno.
Menurut berita akhbar Umno itu, pengikut PAS yang taksub dengan perjuangan parti itu pernah memulaukan imam Umno dan menganggap sembahyang tidak sah sekiranya berimamkan mereka.
Perkara itu didedahkan oleh bekas penyokong kuat parti itu, Aziz Jusoh, 51, yang mendakwa, ada di kalangan ahli Pas menganggap perkahwinan yang dinikahkan oleh jurunikah UMNO juga tidak sah dan perlu dinikahkan semula.
"Malah, sembelihan orang UMNO juga tidak boleh dimakan sebagaimana yang disebarkan menerusi ceramah Pas pada waktu itu dan ia menjadi ikutan sebilangan besar umat Islam yang taksub termasuk saya sendiri.
“Pada fahaman saya, penceramah PAS pada waktu itu memang mengkafirkan orang-orang UMNO," dakwanya sebagaimana yang dilaporkan oleh akhbar Umno itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan