Bakar api perkauman, tindakan Umno mirip Ops Lalang- Mat Sabu


KUALA LUMPUR: Bekas Naib Presiden Pas, Mohammad Sabu berkata tidak mustahil pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berhasrat menjalankan Operasi Lalang ke 2, ekoran tindakan dan kenyataan yang dikeluarkan pimpinan Umno-BN sejak kebelakangan ini.

Beliau merujuk laporan akhbar Utusan Malaysia, Sabtu  lalu yang sengaja membakar sentimen Melayu-Islam, dengan mendakwa wujud agenda menjadikan Kristian sebagai agama rasmi di negara ini.
“Tindakan mereka kini mirip seperti yang terjadi pada 1987, iaitu tuntutan ekstrim oleh kelompok tertentu dalam parti komponen Barisan Nasional.
“Waktu itu (1987) Lee Kim Sai (Ketua Pemuda MCA) menuntut supaya jawatan Timbalan Perdana Menteri diberikan kepada orang Cina. “Tetapi tangkapan tidak dibuat kepada mereka, sebaliknya ahli politik pembangkang dan pemimpin NGO yang disumbat dalam ISA,” kata Mohammad yang turut ditahan ketika operasi tersebut.
Menurut Mat Sabu, Najib kini mula menjalankan peranan yang pernah dimainkannya pada 1987 sewaktu menjadi Ketua Pemuda Umno, dengan mengapi-apikan sentimen permusuhan keagamaan dan kaum di kalangan rakyat Malaysia.
Ia ditambah dengan beberapa kenyataan pimpinan Barisan Nasional sejak mutakhir ini, termasuk Presiden MCA, Datuk Seri Chua Soi Lek yang membuat kenyataan akan menyertai KEADILAN sekiranya parti itu bersedia menggugurkan hak keistimewaan orang Melayu.
Justeru itu, katanya, tidak menghairankan apabila Umno melalui Utusan Malaysia cuba memarakkan lagi kebencian orang Melayu-Islam dengan memapar laporan pada muka depannya yang bertajuk ‘Kristian Agama Rasmi?’ 7 Mei lalu.
“Sekarang, Utusan Malaysia mengapi-apikan perasaan orang Melayu seolah-olah Pakatan Rakyat tidak peduli dengan kedudukan agama rasmi Persekutuan, iaitu agama Islam.
“Ini adalah putar belit fakta dan Ketua Pengarang Utusan Malaysia sepatutnya dipanggil polis untuk memberikan keterangan,” tegas Mohammad Sabu.
Sementara itu, seorang lagi bekas tahanan Operasi Lalang, Suhaimi Said menasihati pimpinan Pakatan Rakyat untuk tidak secara terbuka memberikan kenyataan berhubung isu sama bagi mengelakkan manipulasi media Umno-BN.

Suhami adalah salah seorang pemimpin pembangkang yang turut ditahan pada Ops Lalang 1987.
“Barisan Nasional sangat terdesak sekarang ini. Mereka merancang perkara yang lebih jahat berbanding apa yang berlaku sekarang.
“Pertama, mereka akan terus menyerang Datuk Seri Anwar Ibrahim dan merekacipta fitnah yang lain. Dan pemimpin Umno-BN akan berlakon seolah-olah tiada apa yang berlaku,” ujarnya yang merupakan Pengerusi Biro Felda dan orang Asal KEADILAN.
“Ini adalah permainan mereka. Momentum rakyat untuk mengubah pemerintah memang ada, bahkan orang Umno sendiri meluat dengan berita yang sampai kepada mereka.
“Kita jangan terperangkap dengan isu perkauman dan sentimen agama yang dicipta,” ujarnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan