Dampingi Insan Yang Jasadnya Di Dunia, Hatinya Di Akhirat

Tuan Guru  Nik Abdul Aziz Nik Mat
TERCETUSNYA persoalan uzlah (menyendiri) ini ialah ketika mula tersebarnya ilmu tasawuf, di kalangan manusia yang cenderung mencari kaedah menjaga diri dan hati daripada pengaruh buruk orang ramai.

Mereka memikirkan untuk mengasing diri (uzlah) daripada manusia ramai, kerana menganggap bahawa orang ramai jadi punca manusia berdosa kepada Allah SWT dan dosa terhadap sesama manusia.

Bagaimanapun Imam Al Ghazali lebih cenderung kepada bergaul (mukollatoh) sesama anggota masyarakat, kerana lebih banyak faedah yang diperolehi.
Antara faedahnya ialah jika seseorang itu berilmu dia boleh laksanakan tanggungjawab berdakwah dan mengajar, jika jahil berpeluang menuntut ilmu bagi hapuskan kejahilan diri.

Banyak lagi manfaat yang diperolehi bergaul berbanding dengan mengasing diri. Pelbagai nas dalil dikemukakan menyokong mukhollatoh lebih berfaedah daripada uzlah dalam perbincangan yang lalu.

Antara faedahnya lagi ialah ‘istiknas’ iaitu berusaha agar manusia dapat menjinakkan hati kita supaya tidak liar terhadap agama. Juga ‘inas’ iaitu golongan berilmu mengasuh manusia supaya tenang hati patuhi suruhan agama.

‘Istiknas’ dan ‘inas’ adalah antara perkara yang mustahak dalam urusan agama. Orang yang telah dijinak hatinya dapat dikenal pasti daripada keadaan diri tutur katanya, sentiasa dalam lingkungan agama.

Allah SWT kurniakan kelebihan padanya. Sekadar menatap wajah dan tingkah lakunya walau sebelum berkuliah sudah terasa sejuk di hati, lantas ingat Allah SWT dan hari akhirat.

Ilmu daripada hati akan sampai dan meresap ke hati, tetapi ilmu dari mulut sekadar singgah di telinga pendengarnya sahaja.

Guru yang sifatnya demikian hanyalah guru yang ikhlas kerana Allah SWT. Yang dimaksudkan ikhlas ialah; keadaan serupa apa yang dikata sejajar dengan tingkah lakunya.

Adapun ‘istiknas’ dan ‘inas’ bermukholltoh amat digalakkan jika bertujuan untuk beri kerehatan kepada hati, bagi merangsang orang ramai bersemangat dan rajin beribadat.

Individu tertentu yang perwatakannya menarik atas kurniaan Allah SWT, mustahak sentiasa wujud dalam masyarakat.

Bersimpati terhadap orang ramai dan tidak beruzlah, kerana hati manusia apabila berserabut ia menjadi rabun tidak berfungsi seperti sewajarnya.

Jiwa manusia tidak akan jinak dengan kebenaran selagi tidak diberi kerehatan. Apabila jiwa letih kadang kala dia terlupa walaupun persoalan penting.

Ada kalanya hati tidak rasa gerun walau terhadap dosa, tidak teringin untuk menggapai pahala yang berharga.

Justeru itu setiap individu mustahak sering muhasabah diri, supaya tidak jadi insan yang cetuskan keserabutan dalam masyarakat.

Jika sedar kedudukan diri jadi punca keserabutan hati orang ramai, segeralah atasi selaras dengan keadaan tersebut.

Memaksa hati melakukan sesuatu terlalu lama, boleh mengakibat hati jadi lembap dan tumpul sukar berperanan.

Oleh itu sekali sekala berilah peluang cerdaskan hati dengan bertemu individu tertentu, iaitu orang yang apabila terpandang dirinya atau mendengar tutur katanya, mencetuskan semangat untuk beramal ibadat.

Abdullah bin Abbas r. anhuma berkata: "Jika aku tidak bermasyarakat, tanpa mendengar suara serta menatap wajah sahabat yang tenteramkan jiwaku, mungkin akan timbul di hatiku kesan yang tidak baik."

Kata-kata Ibnu Abbas itu menjelaskan sikapnya yang suka bergaul, para sahabatnya terdiri daripada sahabat Nabi s.a.w. merupakan golongan ilmuan.

Beliau lebih gembira bergaul supaya perolehi ilmu daripada Nabi s.a.w., boleh dimanfaatkan terhadap persada masyarakat.

Justeru itu sekalipun bagi yang beruzlah, tidak dapat menafikan mustahaknya berinteraksi dan bercakap, dengan kawan yang boleh melapang dan damaikan jiwa.

Luangkan waktu walau sesaat setiap hari untuk tujuan tersebut, kerana jiwa yang tumpul sukar untuk melakukan kegiatan yang baik. Lantaran tidak menajamkan jiwa dengan bertemu sahabat yang berkat situasinya.

Mereka jenis manusia yang jasadnya di dunia tetapi hatinya berada di akhirat, kerana tutur kata individu berkenaan ibarat batu penajam bagi jiwa orang awam.

Apabila masyarakat menganggap begitu mulia dan tinggi kedudukannya, hendaklah usahakan sedaya mungkin supaya harapan orang ramai tidak dikecewa-hampakan.

Seperti kata hukama; apabila memandang orang yang bertakwa, segera ingat kepada Allah SWT serta hari akhirat.

Justeru itu hendaklah berusaha mencari orang yang begitu situasinya, janganlah musnahkan saat berharga pertemuan dengan individu istimewa itu.

Jangan tersalah pilih hingga bertemu orang walau sesaat akan punah seluruh detik selainnya. Lantaran tingkah laku dan tutur katanya tidak menolong hati seseorang untuk ingat Allah SWT.

Sabda Nabi s.a.w. bermaksud: "Seseorang itu dinilai mengikut agama kawan rapatnya."Oleh itu setiap orang hendaklah berfikir dan waspada; dengan siapa mereka berkawan rapat."

Seseorang itu apabila bertemu kawan rapatnya, hendaklah pastikan tujuan pertemuan dan perbincangan hanya dalam urusan agama.

Bincangkan juga mengenai kecuaian diri untuk istiqamah atas kebenaran, agar persoalan tersebut dapat diatasi bersama.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan