Dunia akan terkejut jika pelakon video itu bukan Anwar

ZULKIFLI YAHAYA
Tiada apa lagi yang mengejutkan dalam isu Datuk Seri Anwar Ibrahim. Polis atau mungkin pendakwa hanya menunggu masa saja untuk mengumumkan bahawa pelakon video lucah sensasi itu ialah Anwar. Tiada ‘nilai berita’ langsung jika pelakunya Anwar tetapi dunia jadi hairan kalau mereka umumkan pelakonnya bukan Anwar.

Dalam tahun 70an dahulu, pengumuman hari raya puasa oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-raja sangat dinantikan kerana pada malam melihat anak bulan, kebarangkalian untuk raya atau tidak adalah 50-50 kerana ia benar-benar bergantung sama ada anak bulan kelihatan atau tidak. Hari ini, orang tidak peduli lagi pengumuman oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-raja kerana tarikh berdasarkan hisab yang tercetak ditaqwim tidak pernah silap.

Begitulah tamsilnya, pengumuman bahawa Anwar adalah pelakon video lucah oleh pihak polis atau pendakwa sudah diketahui pada hari Datuk Eskay mendedahkan video tersebut lagi. Adakah dengan membuat pengumuman serupa itu oleh pihak berkuasa maka peratus sokongan terhadap Anwar atau Pakatan Rakyat akan turun mendadak?

Sehingga ke hari ini, selepas 13 tahun Anwar dijatuhkan dari kerajaan apa saja yang dilakukan oleh kerajaan, sama ada ia benar-benar berlaku atau konspirasi, maka ia tidak banyak mengubah persepsi rakyat. Jika Anwar boleh dijatuhkan dengan isu moral, maka karier politik Anwar sudah berkubur 13 tahun lalu atau selepas Saiful Bukhari membuat sumpah laknat. Tapi sumpah laknat rupanya meningkat kan jumlah undi KeADILan di Permatang Pauh dalam pilihanraya kecil 2008.

Saya sering diajukan soalan oleh rakan-rakan, “Betulkah orang dalam video itu Anwar?” Bila soalan itu diajukan, ia menggambarkan orang yang bertanya sedang berperang dengan diri sendiri sama ada untuk mengiyakan atau menafikan bahawa orang itu Anwar.

“Kalau betul orang itu Anwar pun tiada apa yang pelik,” saya menjawab.
“Mengapa?” mereka menduga lagi.
“Mengikut rekod dia pernah memasuki UMNO, kemungkaran yang besar bagi orang PAS ialah sertai UMNO, jika masuk UMNO pun dia sanggup takkanlah nak…,” jawapan diberi tidak ikhlas, sekadar untuk melepas geram akibat terklalu kerap diajukan soalan yang sama.

Jawapannya yang sebenarnya ialah; apa juga kekukusan yang berlaku di dalam masyarakat Islam maka Islam mengemukakan penyelesaian terhadapnya. Tuduhan berzina tidak boleh dibuat sewenang-wenangnya tanpa empat saksi yang adil yang menyaksikan secara zahir. Sesiapa yang gatal mulut untuk menuduh juga maka dia boleh dikaitkan dengan perbuatan qazaf iaitu menuduh seseorang berzina melalui lisan atau tulisan tanpa membawa saksi yang disyaratkan mengikut syarie. 

Qazaf adalah dosa besar yang jika tidak diampunkan Allah maka pelaku akan dihumban ke neraka. Harus difahami bahawa qazaf beraku kerana kegagalan penuduh membawa saksi, bukan kerana peristiwa zina tidak berlaku.

Andaikata, orang dituduh benar-benar berzina maka orang itu bakal menerima padah yang berat di akhirat, tapi sekurang-kurangnya di atas dunia sempat jugak penzina itu menyedap. Malang bagi pihak yang melakukan qazaf kerana mereka bukan merasa nikmat apa pun di atas dunia hasil menuduh orang berzina tanpa saksi tetapi di akhirat bala sedang menunggu.

“Sebab itulah saya memilih sikap kepimpinan PAS yang mempertahankan bahawa Anwar tidak berzina selagi pihak penuduh tidak mampu membawa 4 saksi yang adil, mengikut apa yang Allah syaratkan dalam Al-Quran,” itu penjelasan saya di mana-mana.

Itulah juga menjadi pandangan segolongan rakyat Malaysia yang faham ajaran Islam berhubung isu Anwar. Mereka tidak sibuk memikirkan jam omega, raut wajah, ujian poligraf dan sumpah laknat yang bukan dari ajaran Islam itu. Ramai ahli dan penyokong PAS berada dalam golongan ini.

Golongan yang kedua ialah golongan yang benar-benar yakin bahawa Anwarlah orangnya pelakon video lucah itu. Justeru Anwar tidak layak menjadi pemimpin. Maka beliau diserang setiap detik. Golongan kedua ini merasakan mereka adalah pihak yang prihatin dengan dosa pahala, membenci penzinaan serta mempercayai apa juga perbuatan yang dikaitkan dengan nama Allah (sumpah) adalah dari ajaran Islam. Hakikatnya mereka adalah golongan yang ghurur, tertipu kerana kejahilan diri sendiri dalam memahami ajaran Islam. Mereka merasa diri alim, walhal mereka adalah jahil. Ramai yang berada dalam golongan kedua ini, datangnya dari ahli-ahli dan penyokong UMNO.

Golongan ketiga adalah pihak yang mempercayai Anwar melakukannya atau mungkin juga menganggap tidak penting untuk mengesahkan Anwar melakukannya atau tidak; tetapi menganggap ianya isu peribadi dan tidak perlu dikaitkan dengan soal kepimpinan atau politik. Ramai yang berada dalam golongan ketiga ini adalah terdiri dari masyarakat bukan Islam. “Kami tak marah Anwar mau main sama sapa pun, tapi kami marah minyak naik, gula naik..” itu suara yang mewakili golongan ketiga ini.

Dalam menilai isu Anwar ketiga-tiga kumpulan itu adalah yang terbesar di negara ini. Selain dari gabungan ketiga-tiga kumpulan itu, terdapat segolongan lagi rakyat Malaysia yang sudah terlalu muak dengan isu Anwar. Siang, malam, pagi, petang; buka akhbar tengok tv asyik-asyik isu tersebut yang disuap. Mereka bosan untuk turut memikirkan perkara yang dirasakan tiada kaitan dengan kepentingan hidup mereka. Mereka tidak menyukai tindakan penyokong atau penentang Anwar.

Isu Anwar sudah tidak sekuat tahun 1999 dalam menentukan pola sokongan rakyat. Maka golongan keempatlah sebenarnya yang sepatutnya menjadi kumpulan sasaran untuk dialihkan kecenderungan mereka. Jangan terlalu menumpu isu Anwar. Hidangkan gula, minyak, tol, peningkatan kos hidup, rasuah, penyelewengan, pengkhianatan UMNO terhadap Islam/Melayu dan sebagainya.

Percayalah golongan keempat ini boleh menjadi penentu kuasa politik negara. Bergantung kepada ikhtiar kita untuk mengolahnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan