Fitnah lucah: Pemerintah di Malaysia ‘mandul’, dayus- Teras


KUALA LUMPUR:  Kerajaan Umno-Barisan Nasional disifatkan mandul dan dayus kerana membiarkan gejala fitnah dan lucah berleluasa, kata Presiden Teras Pengupayaan Melayu, Azmi Abdul  Hamid.
Kata Azmi, sikap berdiam diri tanpa mengambil sebarang tindakan membendung gejala itu, merendahkan nilai dan norma masyarakat selepas 53 tahun negara mencapai kemerdekaan.
“Institusi agama Islam termasuk perundangan dan pihak berkuasa Malaysia diibaratkan seperti orang yang telah ‘mandul’ dan ‘dayus’ kerana tidak mampu mengambil sebarang tindakan berhubung gejala fitnah yang berleluasa.
“Sebagai sebuah negara yang mengangkat agama Islam sebagai agama rasmi, tindakan berdiam diri pemerintah adalah sangat memalukan. Dalam masa yang sama, undang-undang syariah diketepikan.
“Ketika negara lain maju ke hadapan, Malaysia mengambil langkah mundur sehingga berada di ambang kehinaan,” kata Azmi kepada Keadilandaily.
Beliau menegaskan perkara ini berlaku akibat sikap pucuk pimpinan negara yang mahu menjatuhkan lawan politik mereka dengan cara yang tidak bermoral.
“Segala institusi yang dibina melalui Dewan Undangan Negeri dan Dewan Rakyat, dengan perkenan Yang Dipertuan Agong dimusnahkan semata-mata perbuatan sumpah laknat.
“Semenjak kemerdekaan, persaingan politik tidak sehina dan sekotor begini. Gejala ini hanya muncul selepas peristiwa pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Tohmah dan fitnah disebar di kalangan orang Melayu-Islam sehingga menjadi ‘budaya’. Ini berlaku akibat lawan politik mereka itu didapati terlalu kuat dan menjadi pilihan orang ramai untuk menjadi pemimpin.
“Oleh kerana mereka telah kehabisan modal, maka digembeling seluruh jentera kerajaan, kehakiman dan media massa sebagai senjata untuk menyerang lawan,” ujarnya yang lebih mesra dengan panggilan Cikgu Azmi.
Dalam pada itu, Azmi tidak yakin dalam keadaan politik hari ini, negara mampu untuk membina generasi baru dan kepimpinan yang berwibawa.
“Rumusan yang akan digunapakai oleh anak-anak muda hari ini ialah, persaingan politik mengabsahkan penggunaan politik kotor dan jijik. Sepatutnya Malaysia  mencapai tahap politik yang murni jernih dan matang.
“Tetapi nampaknya, ada pihak-pihak tertentu yang memang tidak mahu negara Malaysia ini, menuju ke arah itu,” ujarnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan