Nazri Abdullah
KUALA LUMPUR, 21 Mei: Himpunan Bersih 2.0 seperti yang dirancang sebelum ini telah diputuskan untuk diadakan pada 9 Julai akan datang di Kuala Lumpur.
Perkara itu diumumkan Pengerusi Badan Pengerak Demokrasi PAS, Mohammad Sabu dalam satu sidang media di Pejabat Agung PAS petang ini.
"Tujuannya sama dengan tujuan himpunan Bersih 1 yang lalu iaitu menuntut pilihan raya bersih dan adil.
"Kami dari PAS bersetuju dan akan menghantar 100 ribu ahli untuk himpunan itu," katanya.
Himpunan dengan nama 'Walk for Democracy' itu katanya akan bermula jam 2 petang.
Bagaimanapun ujarnya, tempat, warna tema dan mekanisme himpunan itu akan diperincikan pihak Bersih 2.0 sendiri yang dipengerusikan Datuk Ambiga Sreneevasan dalam masa terdekat.
"Kita dari PAS memberi jaminan bahawa himpunan tersebut akan berlangsung dengan aman seperti himpunan Bersih lalu jika tanpa provokasi pihak polis,"katanya.
Turut serta pada sidang media itu, Ajk Bersih 2.0 Dr Mohd Hatta Ramli dan Ketua Dewan Pemuda PAS Wilayah, Kamaruzzaman Mohamad.
Himpunan Bersih pertama telah diadakan pada 10 November 2007 lalu dengan kehadiran lebih 100 ribu rakyat berarak menuju ke Istana Negara bagi mengiringi penyerahan memorandum kepada Yang DiPertuan Agong.
Ianya diadakan menjelang Pilihan Raya Umum ke 12 yang berlangsung Mac tahun berikutnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan