Ibu bapa berkulit hitam dapat anak kulit putih

FRANCIS TSHIBANGU dan Arlette bergambar bersama cahaya mata baru mereka yang berkulit putih dan anak lelaki mereka berusia dua tahun.



LEICESTER, Britain - Satu pasangan suami isteri berkulit hitam begitu terkejut kerana cahaya mata baru mereka merupakan seorang bayi lelaki berkulit putih, lapor sebuah akhbar semalam.
Pasangan itu, Francis Tshibangu, 28, dan Arlette, 25, sebelum ini mempunyai seorang anak lelaki berusia dua tahun yang juga berkulit hitam.
Namun, Arlette melahirkan seorang lagi anak lelaki 11 bulan lalu yang berkulit putih dan berambut perang di sebuah hospital di sini.
Cahaya mata baharu itu didapati bukan sindrom albino yang menyebabkan penghidapnya mempunyai kulit berwarna putih.
"Saya berasa amat terkejut sehingga tidak mampu untuk bercakap dan saya dapat melihat beberapa doktor saling melihat antara satu sama lain dengan berfikir bayi itu bukan milik saya.
"Kemudian Arlette dan saya saling berpandangan dan tersenyum dan saya kemudian tahu bayi itu adalah milik kami," kata Francis yang merupakan seorang pelajar universiti jurusan antropologi.
Menurutnya, dia sudah tinggal bersama dengan isterinya selama tiga tahun dan isu mengenai kecurangan tidak pernah dipersoalkannya.
"Gambaran awal jururawat ialah Arlette mempunyai hubungan sulit. Namun, saya pasti bayi itu milik saya," tambahnya.
Dia berkata, bayi lelaki itu mewarisi hidungnya dan bibir isterinya.
Pasangan itu percaya kelahiran itu berlaku mungkin disebabkan nenek moyang Arlette pernah melahirkan anak berkulit putih enam generasi lalu. - Agensi

Tiada ulasan:

Catat Ulasan