Harakahdaily
KUALA TERENGGANU, 9 Mei: "Ehhh kenapa semua pandang kat perut saya," kata Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika memulakan ceramahnya di Kuala Ibai dekat sini baru-baru ini dalam siri jelajah seluruh negara beliau.
Ia disambut gelak ketawa para hadhirin di majlis itu. Dari isu yang serius iaitu tuduhan menjadi pelaku dalam video seks menjadi santai.
Inilah caranya Anwar, yang menghadapi pelbagai tuduhan tidak baik dari musuh politiknya dalam apa yang digelar sebagai 'gutter politic' atau politik longkang yang sangat hina itu.
Sejak dari awal isu video seks datang, Anwar menegaskan beliau bukanlah lelaki yang menjadi pelaku dalam video seks itu.
"Muka macam saya tetapi perut bukan saya," kata Anwar dalam satu sidang media sebaik sahaja video itu mula didedahkan kepada wartawan di Carcosa Sri Negara oleh Trio Umno.
Sebelum inipun, inilah caranya Anwar menghadapi isu ini. Beliau menjadikan tuduhan yang serius ini dengan rileks tetapi penuh kepedihan untuk pihak yang menuduh beliau.
"Muka macam saya, tetapi bila lihat perut bukan saya. Ada yang suruh saya tunjukkan, Salahudin (Ayub, Naib Presiden PAS) minta saya buka baju, tunjuk tetapi Ustaz (Datuk Seri Tuan Guru Abdul) Hadi Awang kata tak payah," kata Anwar dalam majlis itu.
Dalam keceriaan menghadapi tuduhan itu, Anwar mengaku beliau tertekan dengan tuduhan yang dihadapkan kepada beliau itu.
"Saya ada perasaan, ada anak-anak, ada Azizah (Datuk Seri Wan Azizah, isteri beliau)," kata Anwar di Kuala Terengganu itu.
Bagi Anwar, politik mengaibkan orang dengan fitnah ini adalah sesuatu yang beliau tidak akan biarkan dan akan lawan.
Anwar membawa cerita dalam sejarah kerajaan Melayu sebelum ini yang antara lain sangat menitip beratkan agar pihak pemerintah atau raja-rajanya tidak sesekali mengaibkan rakyatnya.
"Jangan sesekali aibkan rakyat kamu. Kalau kamu aibkan juga, mala petaka atas kamu. Tetapi nampaknya Umno melanggar perinsip pertama muafakat antara kerajaan dengan rakyat ini.
"Lihatlah dalam pilihan raya akan datang, rakyat akan tumbangkan kamu," kata Anwar dengan disambut sorakan gemuruh para penyokongnya yang mendengar ucapan beliau malam itu.
Bagi Anwar, tindakan pihak musuh politiknya sangat tidak sesuai dengan keperluan negara sebenarnya.
Yang diperlukan negara sekarang adalah pengurusan ekonomi yang baik agar manafaatnya dirasai oleh rakyat tetapi media Umno sibuk memainkan isu video seks dan mendakwa beliau pelakunya.
Bagi beliau, negara terus menghadapi masalah apabila pemimpinnya sibuk mengkayakan kroni dan anak beranak masing-masing.
"Tun Dr Mahathir, umur dah 85 tahun masih sibuk lagi, anak dia Mokhzani, antara orang Melayu paling kaya di Malaysia. Najib, baru tiga tahun jadi PM, adik dia, Nazir, antara Melayu paling kaya di negara ini.
"Bagaimana mereka ini dapat kumpul harta sebanyak itu?" soal Anwar.
Sehubungan itu, beliau mahu Pakatan Rakyat perlu menang khasnya PAS di Terengganu dalam pilihan raya umum akan datang untuk membuat perubahan.
"PAS kena menang di Terengganu sebab kita nak ubah bukan untuk membalas dendam. Saya jamin, kita tidak akan telanjangkan dia sebagaimana saya kena. Saya hanya nak buktikan kepada rakyat, kita boleh buat," kata Anwar dengan disambut tepukan gemuruh para hadirin.
Antara perubahan yang dijanjikan Anwar adalah royalti minyak 10 peratus untuk rakyat Terengganu, penurunan segera harga minyak runcit, penurunan kadar tarif elektrik dengan mengkaji semula perjanjian dengan Pembekal Tenaga Bebas (IPP) dan sebagainya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan