Aziz Muda
KUALA LUMPUR, 6 Mei: Gerakan Saf Anti Fitnah (Saf) menuntut pelbagai pihak melaksanakan 10 perkara sempena perhimpunan aman Hari Amarah Rakyat yang diadakan di Dataran Masjid Negara dan di hadapan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (Jawi), di sini, hari ini.
Pengerusinya, Azmi Abdul Hamid menegaskan, pihaknya memberikan tempoh sebulan kepada pihak-pihak terbabit untuk mengambil tindakan terhadap tuntutan-tuntutan itu dan sekiranya tidak, perhimpunan kemarahan mereka akan dilanjutkan dengan perhimpunan lebih besar dari yang diadakan hari ini.
Tuntutan pertama dari pihaknya berupa tuntutan ke atas Majlis Raja-Raja Melayu agar campur tangan untuk menghentikan gejala menabur fitnah dan menghina undang-undang Islam berkaitan sumpah laknat yang dilakukan secara bertentangan dengan hukum syarak, di samping diperalatkan untuk mempertahankan tuduhan zina yang mengaibkan keperibadian seseorang.
Menurut beliau, manakala Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan dituntut melaksanakan peruntukan undang-undang terhadap pelanggaran Jenayah Syariah Qazaf dalam kes tuduhan zina dan liwat yang kini sedang menjadi perhatian seluruh rakyat Malaysia.
Katanya, selain itu, Saf turut menuntut Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia mengambil tindakan terhadap media massa yang menyiarkan bahan lucah yang membawa kepada penyebaran fitnah dan mencetuskan kekeliruan dan perpecahan di kalangan masyarakat.
"Pihak kami juga menuntut pihak mufti-mufti di negeri-negeri di seluruh negara menyuarakan ketegasan mereka terhadap fitnah zina dan penguatkuasaan hukum qazaf serta menegur dengan keras mereka yang terbabit dalam penyebaran dan menyemarakkan fitnah zina.
"Sementara sidang Parlimen akan datang dituntut membentangkan keperluan untuk mengkaji ketelusan dan integriti Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) yang dimandatkan untuk menjalankan pilihanraya secara bebas dan profesional," katanya.
Di samping itu, Suruhanjaya Diraja Penambahbaikan Operasi dan Pengurusan Polis yang ditubuh pada tahun 2008 untuk mengkaji tingkah laku badan kepolisan di negara kita yang telah menghasilkan 125 cadangan bagi pembaikan polis pula, dituntut dilaksanakan sepenuhnya melalui penubuhan sebuah suruhanjaya bebas, Suruhanjaya Aduan dan Salahlaku Polis (ASP/IPCMC).
"Kami juga menuntut agar imej Suruhanjaya Pencegahan Rasuah dipulihkan segera akibat beberapa insiden yang telah mencemarkan wibawa agensi tersebut dalam melaksanakan fungsinya secara bebas, berintegriti dan profesional," tegasnya yang juga Pengerusi Teras Pengupayaan Melayu (Teras).
Perkara-perkara lain yang turut dituntut termasuk menuntut Majlis Raja-Raja Melayu bertindak untuk mempertahankan kedudukan Islam di negara ini mengikut peruntukan perlembagaan persekutuan, bagi memastikan keharmonian masyarakat berbilang kaum dan agama terjamin.
"Menerusi perhimpunan ini, kami menuntut agar agensi yang berkaitan dengan undang-undang iaitu polis, Peguam Negara, Ketua Hakim Mahkamah Sivil dan Ketua Hakim Mahkamah Syariah melaksanakan tugas merek dengan telus, berintegriti dan profesional," tegasnya.
Beliau yang juga Setiausaha Agung Sekretariat Himpunan Ulama Malaysia (Shura) menegaskan, pihaknya juga turut menuntut menteri kabinet memberikan perhatian serius kepada semua suara kemarahan yang dilafazkan pada hari ini dan meneliti setiap isu yang dibangkitkan secara khusus mahupun secara umum dan mengambil tindakan sewajarnya.
Kesemua tuntutan itu dikeluarkan dengan persetujuan bersama kesemua pihak yang mengambil bahagian dalam perhimpunan tersebut yang melibatkan parti-parti politik dan lebih 80 NGO termasuk Teras, Shura, Muafakat Perubuhan Islam Kedah (Wehdah), Jaringan Muafakat Pertubuhan Islam Perak (Jama’iy), Insititut Penyelidikan dan Pengembangan Syariat dan Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (Gamis).
Perhimpunan yang turut mendapat kerjasama Gabungan Pemuda Pakatan Rakyat Anti Politik Lucah/Fitnah (Maruah) bagi membantah gejala politik fitnah dan lucah di tanah air itu diadakan selepas solat Jumaat, dengan disertai lebih 1,000 orang dari seluruh Kuala Lumpur, Selangor dan negeri-negeri lain di seluruh negara.
Selesai tuntutan itu dibacakan, beliau dengan diiringi Timbalan Ketua Penerangan Angkatan Muda Keadilan Malaysia, Rozan, Exco Pemuda PAS Pusat, Kamaruzaman Mohamad, Presiden Gamis, Ahmad Syazwan Muhammad Hassan, beberapa pemimpin lain dari PAS, PKR dan beberapa NGO, bergerak beramai-ramai menuju ke Pejabat Jawi untuk penyerahan memorandum.
Disebabkan halangan pihak polis, hanya beberapa orang sahaja yang dibenarkan mengiringinya untuk penyerahan memorandum yang mengandungi tuntutan itu yang diterima oleh Timbalan Pengarah (Pengurusan) Jawi, Abdul Murad Wahab bagi pihak Pengarah Jawi.
Terdahulu dari itu, beberapa orang pemimpin politik dan NGO turut berucap. Masing-masing mengutuk keras budaya politik kotor, hina, lucah dan fitnah yang sedang berleluasa di negara kita.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan