PETALING JAYA: Pakatan Rakyat akan membincangkan mengenai pelbagai perkara termasuk gerak kerja dan kerjasama antara ketiga-tiga parti, bagi merangka strategi besar menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13.
Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pimpinan tertinggi Pakatan Rakyat akan bermesyuarat untuk membincangkan strategi berkenaan sepertimana diputuskan dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi Pakatan Rakyat hari ini.
“Setiap dua minggu kita akan berjumpa untuk merangka strategi besar hadapi pilihan raya umum ke-13 yang mana ia juga akan membincangkan mengenai persediaan Pakatan Rakyat dan dasar bersama kita, ” katanya pada sidang media selepas mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi Pakatan Rakyat di Ibu Pejabat KEADILAN di Petaling Jaya hari ini.
Dalam perkembangan lain, Anwar berkata Pakatan Rakyat akan mengambil kira pandangan semua parti komponennya sebelum mengeluarkan senarai kabinet bayangan untuk Sarawak.
“Kita setuju supaya rundingan dibuat. Di Sarawak pun begitu. Kita telah sampaikan kepada kepimpinan parti di Sarawak supaya senarai itu dibincangkan.
“Kita masih berbincang. Ada cadangan daripada DAP dan kita perlu ambil pandangan PAS dan Keadilan Sarawak. Semangat muafakat itu harus diketengahkan,” jelas Anwar.
Turut hadir dalam sidang media tersebut ialah Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Naib Pengerusi DAP, Dr Tan Seng Giaw dan Timbalan Presiden KEADILAN, Mohammad Azmin Ali.
Sementara itu, Pakatan Rakyat sebulat suara bersetuju mengadakan mesyuarat pimpinan tertinggi setiap dua minggu.
Ia bagi memastikan mesej Buku Jingga, satu dokumen rasmi Pakatan Rakyat sampai ke akar umbi di samping menangani isu-isu berbangkit.
Menurut Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, mesyuarat itu juga akan memperinci persiapan Pakatan Rakyat dalam menghadapi Pilihanraya Umum ke-13.
“Fokus diberikan kepada Buku Jingga dalam menangani beberapa isu rakyat. Ini penting memandangkan Pakatan merupakan pilihan alternatif untuk rakyat akibat kegagalan Barisan Nasional selama lebih 50 tahun memerintah,” katanya.
Ketika ditanya mengenai tindakan Sahzryl Eskay Abdullah yang mengangkat sumpah laknat mengenai video lucah yang ditayangkannya baru-baru ini, Abdul Hadi berkata, ia tidak berlandaskan hukum Islam dan Al-Quran.
“Mereka telah melakukan sumpah yang salah. Sumpah pakai al-Quran, tetapi hukum di dalam al-Quran tidak dipakai. Mengapa bersumpah al-Quran di gunakan tetapi hukum tidak dipakai? Biar dia jawab,” katanya.
“Kalau sumpah, mesti pakai hukum yang ada dalam itu (al-Quran). Mengikut Islam tidak cukup menggunakan kitab tetapi mesti memakai hukumnya. Ini sumpah pakai Kitab tetapi tidak digunakan hukum dalamnya, tambah beliau.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan