Tanah Runtuh : Lima Kanak-kanak Yatim Maut, 7 Selamat

KAJANG 21 MEI : Mayat seorang lagi mangsa dibawa keluar dari timbunan tanah runtuh rumah kebajikan Persatuan Anak-anak Yatim Malaysia di Batu 14, Hulu Langat, Kajang, menjadikan angka terkorban setakat ini lima orang anak yatim.
Penolong Pesuruhjaya Jabatan Bomba Putrajaya Morni Mamat berkata 12 orang masih dipercayai tertimbus dalam runtuhan itu.
 
Mayat terbaru dibawa keluar sebentar tadi manakala tujuh mangsa berjaya diselamatkan dan dihantar ke Hospital Ampang dan Kajang untuk rawatan.

Operasi mencari dan menyelamat melibatkan 200 anggota keselamatan masih giat diteruskan walaupun dalam keadaan hujan lebat.

Tragedi tanah runtuh itu berlaku pada kira- kira jam 2.30. Hujan lebat mencetuskan tanah runtuh yang menimbus rumah kebajikan itu terletak di lereng bukti Hulu Langat.

24 orang dilaporkan tertimbus dalam kejadian itu. 20 daripadanya adalah kanak- kanak yang menghuni di rumah manakala empat lagi adalah penjaga.

Lebih 200 anggota pasukan keselamatan merangkumi ahli bomba dan Jabatan Pertahanan Awam serta sukarelawan menjalankan operasi mencari dan menyelamat.

Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Khalid Abu Bakar berkata operasi menyelamat akan diteruskan selagi keadaan cuaca membenarkan.
Sementara itu, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim menerusi laman twitternya berkata pihaknya mengarahkan Misi Bantuan Kemanusiaan Selangor, Yayasan Amal dan Briged Amal ke tempat kejadian untuk memberi bantuan segera.

Khalid juga berkata kerajaan negeri akan menyediakan tabung bantuan mangsa dengan kadar segera.

Ahli Exco Kerajaan Negeri Rodziah Ismail yang berada di tempat kejadian memberitahu TVSelangor bahawa kerajaan negeri akan memberi segala bantuan yang diperlukan.
-tvsnews-

Tiada ulasan:

Catat Ulasan