SHAH ALAM, 16 MEI: Tidak ada sebab untuk Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, isteri Rosmah Mansor dan bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan untuk mengelakkan diri daripada dipanggil sebagai saksi berhubung kes perbicaraan fitnah ke atas Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menurut ahli parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul berkata, individu yang mendokong rukun negara Malaysia, tidak harus dikecualikan daripada memberi keterangan dalam mahkamah walaupun mereka berstatus orang penting negara.
"Dalam rukun negara ada menyebut dengan jelas Keluhuran Perlembagaan dan Kedaulatan undang-undang,"katanya.
" Maknanya kita mendokong Perlembagaan dan menghormati undang-undang, bagi saya sesiapa juga sama ada dia perdana menteri atau sesiapa juga asalkan dia diminta hadir ke mahkamah atas apa jua kapasiti, (dia perlu hadir),"katanya kepada Tv Selangor.
Tambah beliau, tidak ada apa yang membezakan antara Najib dan rakyat di bawah sehinggakan beliau ada hak keistimewaan untuk tidak dipanggil menjadi saksi sesebuah perbicaraan.
"Apa beza dia (Najib) dengan rakyat biasa? Sebab dia duduk di situ kerana rakyat, rakyat mengundi dan beri kepercayaan untuk jadi PM. Selagi dia junjung perlembagaan Malaysia maka dia mesti hadir,"katanya lagi.
Malah Johari turut melahirkan kekecewaannya berhubung keputusan mahkamah hari apabila Datuk Zabidin Mohd Diah dalam penghakimannya juga seolah-olah sudah menjatuhkan hukuman ke atas Anwar.
"Kita kecewa seolah-olah hakim setelah mendengar hujah-hujah kita dan tidak sepatutnya Anwar disabitkan mahupun dipanggil bela diri kerana penghujahan kita yang mantap dan terbukti bahawa Saiful tidak berada dalam bilik itu pun atau terlibat dalam pelakuan terkutuk itu,"kata Johari.
Hari ini, pasukan peguambela Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mendapatkan keterangan dari para saksi yang disenaraikan untuk perbicaraan kes fitnah ke-II, termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Abdul Razak dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor.
Yang lainnya termasuk bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan; bekas ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) yang kini telah menyertai Umno, Mohd Ezam Mohd Nor, dan bekas atlet Datuk Mumtaz Jaafar yang dikatakan teman rapat Rosmah.
Peguam Karpal Singh berkata proses mendapatkan keterangan para saksi tersebut akan diadakan di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur di Jalan Duta “dan kemudiannya kami akan memutuskan sama ada akan memanggil mereka (memberi keterangan)”.
Dalam pada itu, mengulas lanjut mengenai keputusan mahkamah hari ini, ahli parlimen Kuala Selangor, Dr Dzulkefly Ahmad berkata, beliau sudah menjangkakan keputusan berkenaan sebelum hakim melafazkannya hari ini.
"Kalau kita kata keputusan ini telah dijangka itu semacam kita tidak ada kepercayaan kepada institusi mahkamah negara ini, namun pada hakikatnya itulah perkaranya," ujar beliau yang lebih mesra dengan panggilan Dr Dzul.
Namun beliau yakin, pihak peguam bela Anwar Ibrahim akan menjadikan keputusan ini sebagai peluang untuk terus memperjuangkan keadilan dan kebenaran dalam memastikan pihak yang bersalah akan menerima hukuman yang setimpal.
"Apabila Anwar Ibrahim diminta untuk membela diri, sekaligus memberi peluang kepada peguam bela Anwar untuk menyusun strategi dan mengenal pasti senarai untuk menjadi saksi dalam pembelaan diri Anwar,"katanya.
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini memerintahkan Datuk Seri Anwar Ibrahim membela diri terhadap tuduhan meliwat bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan.
Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah berkata, beliau mendapati bahawa keterangan Mohd Saiful itu boleh dipercayai dan diterima sebagai kebenaran kerana saksi berkenaan seorang yang "berwibawa."
Selain itu, beliau berkata kejadian liwat itu benar-benar berlaku dan tiada apa yang disoal ketika soal balas boleh menunjukkan bahawa dakwaan liwat tidak boleh dibuktikan.
-tvsnews-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan