Ulama Aceh minta pertahan kerajaan Kelantan

Rizal Tahir
KOTA BHARU, 22 Mei: Rakyat Kelantan diseru mempertahankan kerajaan Islam yang didokongi PAS, memandangkan pemimpin parti itu menjadi model pada umat Islam di negara lain.

Pengetua Majlis Permesyuaratan Ulama Acheh Besar, Ustaz Fakhruddin Lahmuddin, berkata sejak 21 tahun lalu Kelantan yang dipimpin Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, menjadi model pada negara-negara lain, termasuk Acheh.

Beliau berkata demikian kepada Harakahdaily selepas majlis pertemuan dengan Tuan Guru Nik Abdul Aziz di kediaman rasmi Menteri Besar, di sini sebentar tadi.

Menurutnya, Kelantan satu-satunya contoh negeri yang dipimpin seorang ulama sebagai Menteri Besar yang tidak memisahkan agama dari politik.

“Inilah yang dilakukan di zaman Rasulullah sebelum ini dan ulama yang memimpin Kelantan ini telah mewarisinya.

“Kerana itu saya berharap rakyat seluruhnya memberi sokongan pada kerajaan Islam Kelantan kerana pentadbirannya menjaga kebajikan manusia menurut kacamata Islam,”ujarnya.

Tambahnya, beliau juga berharap rakyat Acheh turut berdoa untuk kemenangan kerajaan PAS Kelantan sampai bila-bila.

Katanya, beliau tidak dapat menahan sebak apabila mendengar ucapan Tuan Guru yang lebih menjaga kebajikan rakyat sehingga menolak kepentingan diri.

Terdahulu ketika berucap pada majlis itu, Tuan Guru menjelaskan tindakan paling sukar baginya sepanjang menjadi seorang Menteri Besar, menjaga diri sendiri dari terjebak dalam sebarang salahlaku.

Sambungnya, menjadi pemimpin tertinggi dalam sebuah kerajaan negeri ujian begitu besar kerana mudah terdedah dengan penyelewengan, salah laku lain seperti rasuah.

“Untuk menjaga itu semua ia bukan sesuatu perkara yang senang kiranya kurang keimanan dalam jiwa kita”,ujarnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan