Halang Mohamad berucap bukti Najib penakut

Ismail Hashim
SHAH ALAM, 20 Jun: Tindakan JPM menggagalkan slot pidato Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu dalam Majlis Pelancaran Flotila ke Gaza, baru-baru ini mengundang rasa kecewa banyak pihak.

Ketiadaan beliau menimbulkan keresahan ramai dalam kalangan hadirin di Dewan Badminton Kuala Lumpur, Cheras pada malam 18 Jun lalu.

Pada masa ketibaan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk berucap dan melancarkan acara itu, kelibat Mohamad belum juga kelihatan.

Perasaan tidak senang itu bertambah kuat apabila melihat kepada backdrop di pentas utama yang jelas kelihatan menutup nama Mohamad sebagai pemidato dalam majlis itu.

Penasihat Exco mengenai Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Selangor (Padat), Datuk Dr Ibrahim Ghaffar menyifatkan ucapan Najib ketika pelancaran malam itu sebagai omong kosong dan bercanggah dengan tindakan menggagalkan slot pidato Mohamad.

"Bagaimana beliau boleh menyebutkan perjuangan membantu rakyat Palestin oleh rakyat Malaysia disertai semua pihak tanpa mengira pegangan politik.

"Sedangkan slot ucapan Mohamad mewakili sebahagian besar dari rakyat Malaysia dinafikan," tegasnya.

Lebih dari itu, Ibrahim berkata, Najib tidak cukup keberanian jika memberi arahan menghalang Mohamad dari berucap.

Malah lebih dayus, tegasnya, jika Najib mengetahui ada tindakan tersebut dibuat oleh orang-orang bawahannya dan membiarkan kerja bercanggah dengan keputusan awal terus berlaku.

Ibrahim membandingkan kewarasan politik dan sikap terbuka mantan Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad yang sanggup sepentas berpidato dalam isu Palestin bersama Datuk Fadzil Mohd Noor pada 9 Mei 2002 ketika itu sebagai Presiden PAS yang juga Ahli Parlimen Pendang.

Majlis anjuran Abim dan NGO itu diadakan di Bangunan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) disiarkan secara lintas langsung menerusi siaran televisyen milik Kerajaan Malaysia.

Meskipun ada analisa pihak berkaitan menyatakan terdapat 21 kelebihan pidato Ustaz Fadzil berbanding perdana menteri pada acara itu namun Mahathir tetap berani membenarkan aturcara penganjur berjalan lancar.

Menurut Ibrahim, beliau juga terlibat sebagai AJK Pelaksana malah mendeklamasikan sajak di atas pentas utama di dalam kedua-dua majlis berkenaan; pada 2002 dan 2011.

Ekoran tindakan mentiadakan slot ucapan Mohamad menyebabkan pihaknya merasa amat kecewa dan sangat segan kerana mempunyai perdana menteri yang kurang keberanian begitu.

Katanya, penganjur yakni Life Line For Gaza (LL4G) telah memaklumkan sedari awal kepada pihak atasan tentang aturcara majlis pelancaran melibatkan slot Mohamad tetapi tiada sebarang bantahan dari pihak berkaitan.

Namun di saat akhir, beliau sambil menunjukkan sms yang diterima sendiri dari Aman Malaysia mengenai pembatalan slot pidato Mohamad.

Menurutnya, tindakan segera dan tergesa-gesa terbukti apabila nama Mohamad yang sedia tertulis di backrop pentas utama hanya ditampal sejenis kain pada jam 8 malam bagi melindungi slot pidato itu.

Beliau juga menyatakan rasa kesal kerana majlis yang disifatkannya sebagai malam sejuta wajah itu telah digunakan oleh Pemuda BN khas dengan membawa pemuda berbaju biru tua.

Katanya, beliau sendiri bertanya di pintu masuk kenapa perlu berpakaian BN, mereka menjawab ini adalah atas arahan Aman Malaysia di bawah Ketua Pemuda BN, Khairy Jamaludin.

“Sewajarnya malam itu untuk menyatakan hasrat menyokong perjuangan kemanusiaan ini tidak perlu menonjolkan sikap kepartian sendiri tetapi mesti bersatu atas nama rakyat Malaysia.

Penganjur di dalam kenyataan mereka beberapa hari menerusi emel kepada Harakahdaily memaklumkan Mohamad adalah salah seorang pemidato dalam majlis itu.

Malah sehari sebelum majlis berlangsung, beliau sendiri membuat pengesahan akan hadir dan berucap.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan