Murtad : Bekas Mufti Akui Ramai Mohon Keluar Islam


SHAH ALAM, 18 JUN: Bekas Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin mengakui permohonan keluar Islam rancak berlaku di negara ini, namun tidak mempunyai butiran terperinci mengenai rekod tersebut sama ada ia melibatkan golongan mualaf yang baru memeluk Islam atau pun sebaliknya.

Walau bagaimanapun menurut Dr Asri, suatu hal yang menjadi kebimbangannya adalah, bagaimana sebuah negara yang Islam adalah agama rasminya serta memiliki banyak agensi agama, gagal untuk membendung hal ini daripada berlaku.

"Sekiranya kalau kita kira seluruh institusi ini, mencecah berbilion kemampuan (dana) perbelanjaan tahunan.

"Tetapi mengapa insiden murtad ini meningkat dalam negara kita?," soalnya apabila diminta mengulas perkembangan kes jumlah umat Islam murtad yang masih menimbulkan tanda tanya sehingga ke hari ini.

Sebelum ini Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom mendakwa jumlah yang meninggalkan Islam atau murtad adalah seramai 135 orang.

Walau bagaimanapun, beliau kemudian memberitahu Bernama, tidak ada satu pun kes murtad yang diluluskan oleh Mahkamah Syariah sebaliknya yang ada hanyalah permohonan di bawah murtad oleh individu yang tidak sah memeluk Islam.

"Timbul kekeliruan di sini, contohnya seseorang itu memohon untuk kedudukannya sebagai Islam, tetapi kemudian mahu kembali ke agama asalnya, setelah disiasat, mahkamah mendapati dia bukan Islam, jadi tidak timbul soal murtad.

"Sama juga untuk pasangan berkahwin yang hendak daftar untuk perceraian, tetapi mahkamah mendapati mereka berkahwin secara tidak sah di Thailand kerana tiada saksi dan wali, jadi tidak timbul soal perceraian," kata Jamil kepada Bernama.

Portal Malaysiakini sebelum itu melaporkan terdapat 686 permohonan murtad manakala yang diluluskan adalah 135 orang bagi tempoh 2000 hingga 2010.

Laporan itu berdasarkan jawapan kepada pertanyaan lisan   ahli parlimen Bakri Er Teck Hwa kepada Jamil Khir di parlimen.

Malaysiakini kemudiannya tampil dengan laporan yang memetik Mufti Selangor, Datuk Tamyes Abdul Wahid bahawa terdapat banyak permohonan keluar Islam dibuat oleh golongan mualaf yang baru memeluk Islam.

Mengulas isu itu, Dr Asri menyifatkan ia satu kisah ganjil berbanding di negara barat yang menyaksikan penerimaan dan sambutan orang bukan Islam untuk memeluk Islam.

"Sedangkan di negara-negara Islam minoriti seperti barat, orang yang memeluk Islam ramai tetapi di negara kita ini, ceritanya berkisarkan orang keluar Islam. Jadi ini suatu kisah yang ganjil dan tidak kena tentang kita mempromosikan Islam,"jelas Dr Asri.

Beliau menjelaskan bagaimana budaya masyarakat Islam di negara ini menjadi antara faktor utama yang mendorong golongan mualaf keluar Islam dan penganut Islam sendiri memandang sepi ketinggian agama Islam yang syumul . 

"Yang baru masuk Islam (mualaf), mereka tidak mendapat layanan yang sebagai saudara baru, bila sebut mengenai penubuhan Masjid Cina, ianya pun sukar untuk dilaksanakan kerana karenah birokrasi dan tafsiran. Seperti juga insiden orang bukan Islam masuk ke dalam masjid, pelbagai tafsiran dan pandangan agama yang dikeluarkan sehingga ada yang begitu ekstremis, mahu sebut nama Allah pun jadi pelbagai isu, jadi segala ruang pendekatan agama Islam itu dihalang kepada orang bukan Islam," tambahnya lagi.

Justeru itu, Dr Asri menyeru masyarakat Islam di negara ini supaya keluar dari zon kekeliruan dengan mencari pendekatan holistik dalam mendepani perjuangan mempromosi Islam dan bukannya menghukum mereka yang murtad.

"Kita masih lagi dalam zon kekeliruan dan tidak boleh kita menghukum orang murtad sedangkan awan zon kekeliruan itu masih tebal. Apa yang perlu diperbaiki...semua ini adalah lambang kepada kegagalan golongan pendakwah, umat Islam dan institusi-institusi agama yang ada di bawah kerajaan dan bukan kerajaan,"katanya.

Dalam pada itu, mengulas percanggahan kenyataan yang dikeluarkan oleh Jamil Khir di Dewan Rakyat dan kepada Bernama, menurut Dr Asri mungkin berlaku salah faham mengenainya. 
-tvsnews-

Tiada ulasan:

Catat Ulasan