Rally Bersih sudah 'international' pula

Aspan Alias
http://hornbillunleashed.files.wordpress.com/2011/06/bersih-2.gif?w=345&h=200Rally anjuran Bersih akan secara serentak juga diadakan di negara-negara lain pada 9hb Julai ini. Malaysian Insider melapurkan yang rally tersebut akan di adakan di Osaka, Seoul, Melbourne, Sydney, New York, Los Angeles dan California.

Rakyat Malaysia yang menetap di negara-negara tersebut telah bersetuju untuk bersama-sama mengadakan rally tersebut dan kebanyakan dari mereka itu telah tampil secara sukarela untuk bersama-sama menganjurkan rally tersebut pada hari yang sama.di tempat dan bandar mereka tinggal.

Di bandar-bandar tersebut tidak ada pula mereka dicegah dan tidak pula rakyat di sana merungut kerana menjejaskan perniagaan mereka. Di sini berbagai-bagai macam alasan yang dibuat untuk mengelakan rally ini di adakan termasuk lah alasan yang rally itu akan menjejaskan perniagaan di tempat rally itu di adakan.

Malahan ada pihak yang berbohong yang rally anjuran Bersih pada tahun 2007 dahulu telah menjejaskan perniagaan peniaga-peniaga selama 6 bulan. Bagaimana peniagaan boleh terjejas selama 6 bulan itu tidaklah saya tahu bagaimana ianya jadi begitu. Alasan yang lain termasuklah ianya akan menjejaskan pelaburan asing negara.

Di Thailand rakyatnya telah berdemonstrasi selama hampir 6 bulan tetapi Thailand tetap merupakan negara yang paling banyak pelabur-pelabur asing datang untuk melabur; jauh lebih tinggi dari negara kita yang jarang-jarang rakyatnya berdemonstrasi. Pada tahun-tahun yang akhir-akhir ini Malaysia hanya mampu untuk menyaingi negara Myanmar sahaja dari segi penglibatan pelabur asing.

Saya bukan penggalak demonstrasi jalanan, tetapi saya tidak dapat menerima alasan-alasan yang diberikan tadi kerana ianya menampakan sangat yang kita diberikan alasan-alasan yang hanya kanak-kanak sahaja yang mungkin mempercayainya.

Bersih telah memberikan jaminan yang rally itu merupakan rally yang aman dan jika berlaku perkara yang tidak di ingini ianya bukan datangnya dari pihak Bersih. Malahan Bersih telah meminta semua pihak termasuk parti-parti dalam BN untuk menyertainya untuk mendesak pihak berwajib yang mengendalikan pilihanraya melaksanakan PRU dengan lebih adil dan telus. Jika pilihanraya dilakukan dengan adil ianya akan menjadikan negara kita lebih diyakini oleh rakyat negara dan masyarakat antarabangsa kerana mandat yang di dapati itu adalah mandat yang legitimate.

Yang menyangkutkan Bersih dalam isu ini hanyalah permit dari pihak Polis. Yang lainnya Bersih telah memberikan tujuan dan matlamat rally ini di adakan dan Bersih juga meminta parti-parti dalam BN untuk bersama. Bagi saya BN patut menuruti apa yang dilakukan oleh Bersih kerana kita mesti bersedia untuk menjadi pembangkang dalam keadaan sekarang ini.

Jika tidak di adakan sistem yang adil maka BN sendiri akan menghadapi masalah jika komponen ini di letakan oleh rakyat untuk mengambil ‘role’ sebagai pembangkang selepas PRU ini. Seandainya BN menjadi pembangkang maka sistem yang tidak adil ini akan diguna pakai oleh parti alternatif apabila mendapat mandat rakyat. Justru apa yang ingin dilihat oleh Bersih ini ialah untuk menjaga setiap pihak tidak akan tertekan dengan sistem pilihanraya yang tidak adil.

Bersih sebagaimana yang saya tulis dalam posting-posting yang lalu mempunyai tujuan yang betul. Itu sebabnya Bersih telah memohon untuk mendapatkan permit dari pihak Polis untuk menunjukan manifestasi rakyat sebenarnya. Tetapi pihak berkuasa merasakan yang tuntutan Bersih ini akan memberikan lonjakan yang kuat terhadap pembangkang kerana pengalaman yang di alami hasil dari rally Bersih pada tahun 2007 yang lalu.

Tuduhan terhadap Bersih memihak kepada pembangkang itu nampaknya dimainkan dengan sepenuhnya oleh pihak yang berkuasa, sedangkan Ambiga sendiri telah memberi amaran kepada Anwar Ibrahim supaya tidak masuk campur dalam urusan rally ini. Bersih telah menyatakan dengan jelas yang semua pihak dijemput termasuk BN untuk menjayakan rally ini.

BN mengambilnya sebagai rally yang ditakuti mereka akan memihak kepada pembangkang. Malahan dengan reaksi negatif pihak berkuasa itu dengan otomatiknya rally ini dianggap sebagai urusan pihak pembangkang. Itulah sebabnya blog ini telah menyatakan acapkali yang advantage yang diperolehi oleh pembangkang itu diberikan sendiri oleh pihak parti yang berkuasa.

Reaksi negatif yang ditunjukan oleh BN itu secara terus dan direct telah menambahkan sokongan ramai terhadap Bersih samada rally itu benar-benar akan berlaku atau mampu digagalkan oleh pihak yang berkuasa.

Dengan peranan yang sama-sama dimainkan oleh rakyat Malaysia diluar negara untuk menganjurkan rally di negara-negara permastautin mereka itu akan memberikan ‘advantage’ kepada pihak pembangkang. Dengan keadaan ini ianya memberikan tekanan yang begitu kuat kepada pihak yang memerintah kerana penganjuran rally yang sama oleh Bersih untuk rakyat Malaysia di sana akan menjadi tumpuan masyarakat antarabangsa pula.

Apabila perkara ini berlaku saya bersama dengan pandangan yang tidak kurang banyaknya dari mereka yang menyalahkan pihak ketiga seperti Perkasa dan kenyataan pemimpin-pemimpin yang berkuasa yang terlalu lancang menempelak pihak NGO seperti Bersih ini. Berjaya menyalahkan Bersih bukan bermakna kita telah berjaya matlamat membenamkan pemikiran rakyat. Yang ingin dilihat oleh rakyat yang ramai ialah kebijaksanaan atau pun ‘wisdom’ impinan yang berkuasa memberikan reaksi kepada rancangan Bersih menganjurkan rally ini.

Apabila ditolak dan dicampur ramai berpendapat pembangkang telah mendapat lonjakan sokongan secara percuma hasil dari lonjak dan tari pihak ketiga seperti Perkasa dan lain-lain. Kata-kata ‘kerana lonjak koyak ketayap di kepala’ itu sudah menjadi kenyataan. Kita tidak akan mampu untuk mengawal perasaan orang ramai kerana mereka adalah manusia yang mempunyai pemikiran yang berbeza dalam satu-satu isu.

Kita tidak boleh mengawal pemikiran manusia seperti kita mengawal kambing yang boleh direbankan mengikut kehendak hati kita sahaja. Oleh kerana sebegitu lama diyakini kita telah begitu ketagih dengan sokongan membuta tuli tanpa soal dari rakyat. Apabila kita dipersoalkan oleh mereka yang selama ini menyokong tanpa soal, kita menjadi mengelabah dan tidak ada yang bersikap ‘magnanimous’ termasuk Menteri Dalam Negeri sendiri.

Inilah jadinya jika kita lawan api dengan api. Sepatutnya kita lawan api dengan air yang sejuk untuk memadamkan kepanasan api tadi. Pihak kita yang sedang berkuasa hanya pandai mengugut kerana itulah senjata yang digunakan sejak dulu hingga sekarang. Tetapi saya tahu pandangan saya ini akan dibidas oleh mereka yang malas berfikir atau yang tidak tahu untuk berfikir. Tetapi itu tidak mengapa bagi saya.

Bidaslah sekendak hati. Kebenaran akan zahir juga akhirnya.
 
http://aspanaliasnet.blogspot.com 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan