Siber: Pemuda PAS cabar Rais kemuka bukti

Harakahdaily
KUALA LUMPUR, 18 Jun: Dewan Pemuda PAS mencabar Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim untuk membuktikan fitnah yang mendakwa serangan siber ke atas laman web kerajaan dan agensinya baru-baru ini ada kaitan dengan Bersih.

Ketua penerangannya, Riduan Mohd Nor kesal dengan sikap tidak bertanggungjawab menteri itu yang menyalahgunakan kuasanya dengan menyebarkan fitnah berasaskan andaian semata-mata.

“Amat buruk dan sangat tidak profesional bila mana seorang menteri berkelakuan begini,” ujarnya dalam kenyataan kepada Harakahdaily.

Sehubungan itu, pihaknya mencadangkan organisasi Bersih membuat laporan polis dan menyaman Rais di atas tindakan beliau itu.

Pemuda PAS, ujarnya menasihatkan pihak kerajaan membuat siasatan terperinci terhadap serangan siber itu dan mendedahkan hasilnya kepada rakyat.

Katanya, kerajaan yang membelanjakan billion ringgit wang rakyat untuk menyediakan fasiliti keselamatan siber harus menjawab kepada rakyat bagaimana dengan begitu mudah laman-laman berkenaan diserang hingga menyusahkan ramai pihak.

Pihaknya juga menyeru kepada kerajaan untuk mempertingkatkan sistem keselamatan siber negara dan tidak menyekat kebebasan rakyat untuk menyampaikan pandangan mereka melalui medium alternatif ini.

“Ayuh anak muda turun 9 Julai ini bersama Bersih 2.0 dan singkirkan fitnah menteri yang tidak bertanggungjawab ini,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan