KOMENTAR: Penganjur Bersih petang tadi mengisytiharkan matlamat perhimpunan itu menuntut pilihanraya adil dan telus berjaya dipenuhi walaupun lebih seribu rakyat dan pemimpin ditahan polis manakala ribuan lagi di tembak dengan gas pemedih mata dan dipancut air berkimia.
Walaupun hasrat untuk menghantar memorandum kepada Seri Padukan Baginda Tuanku Mizan Zainal Abidin dihalang oleh ratusan polis bersenjata automatik di laluan ke Istana Negara, Bersih 2.0 berjaya menyemat keperluan untuk pembaharuan proses pilihanraya disanubari kita semua.
Stesen televisyen Al-Jazeera melaporkan lebih 100,000 rakyat menyertai Bersih 2.0 walaupun terpaksa menongkah pelbagai kezaliman polis dan pemerintah.
Secara ringkas berikut adalah “harga” yang terpaksa dibayar oleh pendokong Bersih :
- 1,401 orang ditahan termasuk Pengerusi Bersih Ambiga Sreenevasan dan ahli jawatankuasanya Maria Chin Abdullah. Lebih 250 yang lain ditangkap sebelum ini, termasuk enam di bawah Ordinan Darurat.
- Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim ditembak gas pemedih mata dan mengalami kecederaan di kepala dan kaki. Beliau menerima rawatan di Hospital Pantai. Anaknya Nurul Iman dan Hana ditahan manakala pengawal Anwar dikasari.
- Turut cedera Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad.
- Kepimpinan utama PAS turut diberkas termasuk Presiden Abdul Hadi Awang, Timbalannya, Mohamad Sabu serta dua naib presidennya, Sallehuddin Ayob dan Mahfuz Omar.
- Ahli Parlimen yang ditahan termasuk Tian Chua, R.Sivarasa, Azmin Ali, Fuziah Salleh (PKR) dan Ngeh Ko Ham (DAP).
Namun harga itu dianggap “murah” berbanding dengan mesej tajam yang dihantar oleh Himpunan Bersih 2.0.
Perkara paling memberangsangkan adalah hakikat bahawa ratusan ribu orang yang turun padang menyertai Bersih merangkumi pelbagai kaum, khususnya Melayu, Cina dan India, menjadikan Bersih sebuah gerakan rakyat dalam erti kata sebenarnya.
Kehadiran mereka membuktikan “kuasa rakyat” masih kuat membara di negara ini dan tidak mungkin ditenggelamkan dengan provokasi dan kekerasan polis serta pemerintah, walau sehebat manapun.
“Kebenaran akan sentiasa mengatasi kekejaman,” kata Ambiga, sejurus sebelum beliau ditangkap oleh polis dan dibawa ke suatu lokasi yang tidak diketahui.
Beberapa “adegan-adegan” Bersih 2.0 akan sentiasa terpahat dalam sejarah negara ini.
Contohnya : ribuan rakyat berbilang kaum bersilang tangan, membentuk saf berjalan walaupun disekat polis yang menembak air bercampur kimia dan gas pemedih mata di Jalan Pudu.
Begitu juga dengan rakyat yang menyanyi Negaraku di Stadium Merdeka bagi meraikan kejayaan melepasi sekatan jalan dan kekerasan polis.
Imej-imej anggota polis yang bergerak secara berkumpulan, memukul, memijak rakyatnya sendiri sebelum mengheret mereka ke lokap juga akan terpahat dalam ingatan.
Pancutan air berkimia dan bau gas pemedih mata pula akan menandakan 9 Julai 2011 sebagai hari di mana aparatus pemerintah diguna untuk menghalang rakyat berjalan aman ke sebuah lokasi untuk menzahirkan keperluan diadakan pilihanraya adil dan telus.
Bersih 2.0 berjaya membongkarkan wajah sebenar pemimpin-pemimpin utama negara ini .
Sebuah gerakan yang aman, ditunjangi oleh pemimpin masyarakat madani menjadi mangsa serangan pemerintah dengan ribuan orang ditangkap hanya kerana memakai baju berwarna kuning atau berjalan secara berkumpulan.
Baca selanjutnya di sini
Tiada ulasan:
Catat Ulasan