SHAH ALAM, 21 JULAI: Keluarga Allahyarham Baharudin Ahmad, mahu menonton video yang disiarkan oleh polis hari ini bagi mensabitkan dakwaan kononnya kematian Allahyarham tidak berkait dengan tindakan polis menyuraikan perhimpunan Bersih 2.0, 9 Julai lalu.
Peguam keluarga mangsa, Ahmad Zuflis Faiza menjelaskan pihaknya juga ingin mengetahui sumber video itu dan hanya akan memberikan reaksi setelah menonton rakaman berkenaan.
"Saya tidak boleh beri sebarang komen kerana saya sendiri belum melihat video itu, dimana tempat kejadian dan sebagainya," kata beliau.
Polis hari ini menunjukkan rakaman CCTV menunjukkan detik-detik cemas Baharuddin berlari ke pusat membeli-belah Avenue K sebelum rebah.
Beliau dipercayai mencari perlindungan di pusat membeli belah itu untuk melepaskan diri daripada asakan polis yang melepaskan pancutan air berkimia di KLCC.
Rakaman itu tidak menunjukkan anggota polis mengejar beliau namun kawasan KLCC yang berdekatan ketika itu menjadi sasaran polis untuk menyuraikan peserta Bersih.
Polis menolak dakwaan bahawa Allahyarham menjadi mangsa asakan polis dan bertegas bahawa kematiannya tidak ada kena mengena dengan tindakan pihak berkuasa.
Polis menyatakan Baharudin meninggal dunia akibat penyakit jantung namun sehingga ini keluarga Allahyarham masih belum diberikan laporan hasil bedah siasat berkenaan.
-tvsnews-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan