VANCOUVER, Amerika Syarikat: Seorang wanita tidak berumah dituduh cuba menjual anak lelakinya yang berusia tiga hari di restoran Hazel Dell Taco Bell di sini pada harga di antara AS$500 (RM1,507) hingga AS$5,000 (RM15,074), lapor beberapa buah akhbar semalam.
Ibu itu, Heidi L. Knowles berumur 36 tahun bertindak menjual anaknya itu pada Khamis lalu.
Menurut dokumen mahkamah, seorang wanita menghubungi talian kecemasan 911 bagi membuat laporan bahawa Heidi membuat tawaran untuk menjual anaknya itu kepadanya.
Ibu itu kemudian ditangkap polis dan dihadapkan ke mahkamah kelmarin.
Hakim mahkamah menetapkan wang ikat jamin sebanyak AS$50,000 (RM150,749) selepas mendapati dia mempunyai rekod jenayah termasuk keganasan rumah tangga dan dadah.
Ibu itu yang merupakan seorang janda dan kini ditahan di sebuah penjara akan dibicarakan pada 29 Julai depan.
Menurut dokumen mahkamah, Heidi yang menganggur memberitahu polis dia menginap di Motel Kay's di Vancouver, Washington dengan anaknya itu buat sementara waktu sehingga menemui tempat tinggal yang sesuai.
Dia menyara kehidupan dengan wang bantuan kebajikan sebanyak AS$540 (RM1,628) sebulan dan penerima program bantuan makanan kebajikan.
Ibu itu memberitahu polis, dia berpindah dari Florida ke Vancouver, Washington tiga bulan lalu.
Jika sabit kesalahan, dia akan dipenjarakan sehingga lima tahun. -Agensi-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan