Mulut dijahit terkena kelongsong pemedih mata

Mohd Sabri Said
BALIK PULAU, 15 Julai: Roslan Hussain, 41, mengalami keretakan pada tulang dagu, dua batang gigi patah serta terpaksa menerima 20 jahitan di bahagian luar dan dalam mulut akibat terkena kelongsong gas pemedih mata pada himpunan Bersih 2.0.

Ketika kejadian, beliau yang datang secara berkumpulan dari Balik Pulau memasuki kawasan KL Sentral setelah makan di sebuah premis makanan segera di situ.

Selepas menunaikan solat Zohor, lalu beliau keluar bersama kumpulan yang lebih ramai, tiba-tiba polis bertindak menghalau untuk menghalang orang ramai berkumpul.

Katanya, pada masa orang ramai berasak-asak dan ketika itu terasa satu benda keras terkena tepi mulut.

Waktu itu dia hanya rasa kebas sahaja tetapi apabila lepas beberapa minit berlari mengelak daripada kepedihan asap pemedih mata ada orang menegur mulutnya berdarah.

"Semasa kena, saya terasa kebas sahaja manakala di bahagian dada rasa panas. Pada mulanya saya ingatkan batu rupanya pemedih mata. Terbukti pasukan keselamatan menembak paras kepada tidak ke atas seperti mana biasa," terangnya pada Ahli Parlimen Balik Pulau, Yusmadi Yusoff dan Yang Dipertua PAS Balik Pulau, Ustaz Fauzi Yusoff serta rakan taulan yang datang menziarahinya.

Menurutnya, dalam keadaan bajunya berlumuran darah dan sakit yang teramat sangat lalu mendapatkan teksi untuk ke Pusat Perubatan Univesiti Malaya.

“Di sana saya melihat Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Khalid Samad juga ada beliau menerima enam jarum di bahagian belakang kepala,” katanya.

Setelah kembali ke Balik Pulau beliau terus mendapatkan pemeriksaan di sebuah hospital swasta dan pihak hospital mendapati kecederaan serius di bahagian dagu.

Doktor terpaksa mengikat giginya buat sementara dengan kos RM480 sebelum pembedahan dengan anggaran RM10,000.

Fauzi menyiifatkan itu adalah antara keganasan polis yang menggunakan kekerasan untuk menyuraikan perhimpunan aman Bersih 2.0.

Katanya, mereka bertindak ikut suka hati malahan tiada perikemanusiaan terhadap orang ramai yang menyertai perhimpunan Gabungan Pilihan raya Bersih dan Adil yang datang secara aman.

Yusmadi pula menyarankan Roslan membuat laporan polis segera kerana beliau telah diperlakukan sebegitu rupa sedangkan tidak melawan polis.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan