KUALA LUMPUR: Pasukan Polis dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein tidak perlu mengambil sikap konfrantasi dan perlu beralah dengan Gabungan Pilihan Raya bersih dan Adil (Bersih 2.0).
Pakar Perlembagaan, Profesor Dr Abdul Aziz Bari berkata, ini kerana himpunan aman yang bakal diadakan di Stadium Merdeka esok, telah direstui Yang di Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin sendiri.
Aziz berkata, tindak-tanduk Hishammuddin yang mengarahkan pasukan polis mengenakan tekanan ke atas Bersih jelas menunjukkan bahawa beliau ingkar titah Agong.
“Jelas Hishamuddin dan Umno biadap kerana tak mahu bertolak ansur. Apalagi setelah Agong mengambil inisiatif yang sedemikian berani dan Bersih sanggup bertolak ansur.
“Umno pada hakikatnya enggan mematuhi Perlembagaan” kata Aziz Bari dalam satu kenyataan kepada Keadilandaily.com.
Menurut Aziz, pasukan Polis – seperti juga Angkatan Tentera dan cabang perkhidmatan awam persekutuan yang lain – wajib setia kepada negara yang lambangnya ialah Agong.
“Mereka tidak perlu setia kepada kerajaan yang memerintah. Polis hanya perlu ikut perintah kerajaan selagi perintah itu selaras dengan perlembagaan.
“Kita semua tahu siapa yang melanggar perlembagaan sekarang,” kata Penysrah Undnag-undang dari Universiti Islam Antarabangsa itu.
Menurutnya lagi, kebiadapan yang ditunjukkan Umno sekarang adalah kelangsungan kepada sikap biadap mereka pada tahun 1983, 1993, 1994 dan di Terengganu pada tahun 2008, apabila bertindak menghina Institusi Raja-Raja Melayu.
Mengulas lebih lanjut, Aziz berkata tekanan kerajaan kepada Bersih juga adalah bukti betapa kerajaan memberikan layanan terpilih dalam mengiktiraf hak-hak rakyat yang tertakluk di bawah Perkara 10(i) Perlembagaan Persekutuan.
“Dengan kata lain tiga hak di dalam di bawah Perkara 10(i) Perlembagaan Persekutuan yakni hak bersuara, hak berhimpun dan hak berpersatuan tertakluk kepada selera dan kepentingan kerajaan,” ujarnya.
“Itu yang berlaku selama ini. Dengan itu ada semacam penyalahgunaan kuasa atau pendekatan yang tidak konsisten,” kata Aziz.
Dalam perkembangan terkini, Bersih akan meneruskan perhimpunan aman untuk menuntut reformasi dalam pilihan raya Malaysia esok walau pun dikenakan pelbagai tekanan oleh Umno BN.
Terbaru, polis mendapatkan perintah mahkamah untuk menghalag 91 individu yang kebanyakannnya terdiri daripada pimpinan Pakatan Rakyat dan aktivis Bersih daripada memasuki Kuala Lumpur Sabtu ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan