Wartawan Utusan akui tulis berita fitnah

M Faqih
KOTA BHARU, 24 Julai: Seorang wartawan Utusan Malaysia mengakui tidak menemui plaintif sebelum menyiarkan berita disifatkan berunsur fitnah terhadap pemimpin PAS Perak, Mohd Misbahul Munir Masduki.

Yuspisman Asli, 39 kini Ketua Biro Utusan Cawangan Kelantan mengakui perkara itu ketika ditanya peguam plaintif, Mohamad Hanipa Maidin pada perbicaraan kes saman Misbahul terhadap Datuk Khalid Mohd dan Utusan Melayu Bhd di Mahkamah Tinggi Kota Bharu hari ini.

Hanipa sebelum itu mahu kepastian sama ada wartawan berkenaan menghubungi Misbahul atau menemui sekretariat muktamar atau pengerusi tetap bagi mendapat kesahihan sebelum berita itu ditulis.

Mingguan Malaysia pada 3 Jun 2007 dalam laporan di muka hadapan menggunakan tajuk “Dewan Ulama PAS ibarat tin kosong – Perwakilan”.

Berita mengenai muktamar terbabit disiarkan dengan dakwaan wakil Perak, Misbahul Munir berkata, Dewan Ulama hanya hidup dalam kepompong mereka sendiri dan tidak berperanan dalam usaha mencelikkan rakyat terutamanya ketika berdepan dengan pelbagai isu melibatkan kepentingan umat Islam.

“Kepimpinan ulama yang dicanang oleh parti PAS tidak harus hanya menjadikan tin kosong melalui kewujudan Dewan Ulama, apabila aktiviti mereka lebih tertumpu di surau dan markas,” katanya dalam laporan berita tersebut.

Dalam writ samannya plaintif menyebut berita disiarkan di muka hadapan akhbar Mingguan Malaysia itu dibuat dengan niat jahat dan bertujuan mensensasikan berita fitnah.

Perbicaraan kes itu diadakan di hadapan Hakim Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim. Khalid dan Utusan diwakili peguam Azhar Arman Ali.

Sebelum kes itu difailkan di mahkamah peguam plaintif telah menghantar notis supaya Utusan meminta maaf bercara bertulis dalam tempoh tujuh hari.

Defendan juga dituntut membayar ganti rugi sebanyak RM250,000 dalam masa tujuh hari sebagai ganti rugi, namun pihak defendan gagal berbuat demikian.

Oleh itu plaintif menuntut ganti rugi am, ganti rugi teladan, ganti rugi melampau dan perintah menarik balik tuduhan fitnah dan ucapan minta maaf daripada kedua-dua defendan.

Ketika prosiding pada 5 Julai lalu Misbahul memberi keterangan di mahkamah terhadap tuntutan saman tersebut.

Dalam keterangannya Misbahul memberitahu beliau tidak berucap langsung atau menjadi pembahas pada muktamar kali ke-53 yang diadakan di Putik, Pengkalan Chepa.

Penerbitan berita fitnah tersebut menyebabkan maruahnya tercemar sehingga meletak dirinya di kancah kebencian dan kehinaan pada pandangan masyarakat.

Hanipa berkata, biar pun Yulpisman menganggap berita itu sebagai kritikan membina dalam keterangan hari ini, namun dalam berita yang disiarkan tidak menggambarkan situasi tersebut.

Menurutnya berita berkenaan tambah hangat apabila diulas pula Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak sehari selepas itu, yang digambarkan Utusan terus mempertahankan berita tidak betul.

“Dalam kes ini plaintif telah dilihat memburukkan PAS apabila berkata, Dewan Ulama PAS ibarat ting kosong.

“Berita itu kemudian disebarkan melalui Utusan dengan edaran sehingga 400,000 naskah bertujuan bagi menarik perhatian ramai,” katanya.

Prosiding kes tersebut masing-masing menampil seorang saksi iaitu Misbahul bagi pihak plaintif dan Yuspisman (defendan).

Penghujahan kes berkenaan akan disambung pada 26 September hadapan

Tiada ulasan:

Catat Ulasan