Anwar beri keterangan dari kandang tertuduh

Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini memilih untuk memberi keterangan membela diri dari kandang tertuduh dengan kenyataannya tidak boleh diperiksa balas oleh pihak pendakwaan.

Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Mohd Zabidin Mmohd Diah sebelum itu memberitahu Anwar, beliau mempunyai tiga pilihan dalam perbicaraan kes liwat ketua pembangkang itu dengan bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Tiga pilihan itu adalah pihak pendakwaan boleh menyoal balas beliau; memberi keterangan di kandang tertuduh di mana pihak pendakwaan tidak boleh menyoal balas tertuduh tetapi semasa membuat keputusan mahkamah boleh mengambil kira fakta yang pihak pendakwaan tidak memeriksa balas tertuduh; atau memilih untuk berdiam diri, iaitu tidak memberi sebarang keterangan.

Walaupun Anwar memilih memberi keterangan dari kandang tertuduh, dia masih duduk di atas bangku peguam yang mempunyai kelengkapan sebuah mikrofon.

Menurut Hakim Zabidin walaupun tertuduh duduk di kalangan peguamnya, tindakan itu masih dianggap sebagai kenyataan daripada kandang (dok).

Jika Anwar memilih memberi keterangan dari kandang saksi, beliau boleh disoal-balas oleh pihak pendakwaan dan keterangan itu dianggap lebih berwibawa.

Pada kes perbicaraan kes salah guna kuasa dan liwat pertama yang dihadapinya 10 tahun lalu, Anwar membela diri dari kandang saksi.

Pada 16 Mei lalu, Anwar diperintah membela diri selepas, Hakim Zabidin memutuskan Mohd Saiful, pengadu dalam kes liwat itu, adalah bercakap benar dan seorang saksi berwibawa.

Anwar mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen pada 7 Ogos 2008, terhadap pertuduhan melakukkan seks di luar tabii di Kondominium Desa Damansara di Bukit Damansara, antara 3.10 petang dan 4.30 petang pada 26 Jun 2008.

Jika disabitkan kesalahan, beliau boleh dikenakan hukumaan penjara sehingga 20 tahun dan disebat.
-malaysiakini-

Tiada ulasan:

Catat Ulasan