Hazayani Zakaria
KUALA LUMPUR, 21 Ogos: PAS harus bekerja keras untuk menyedarkan rakyat khususnya orang Melayu mengenai hak mereka.
Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu berkata, orang Melayu tidak sensitif terhadap isu pembaziran dan penyelewengan wang rakyat yang dilakukan kerajaan BN selama ini.
(Mohamad sambil duduk menyampaikan kit kempen Barang Naik)
Menurutnya, orang Melayu hanya tahu merungut tapi tidak ada usaha melakukan protes terhadap kerajaan.
"Untuk menimbulkan sensitiviti rakyat terhadap hak-hak mereka satu kerja yang sukar dan perlu kesabaran, terutama menghadapi orang Melayu yang tidak sensitif dengan perkara-perkara yang berlaku seharian, contohnya soal rasuah, penyelewengan, kenaikan harga barang.
"Mereka merungut tetapi tidak sampai ke peringkat protes," kata beliau sewaktu berucap merasmikan Pelancaran Kempen dan Kelab Protes Barang Naik (Protes BN) di perkarangan Pejabat Pusat Khidmat Masyarakat Parlimen Titiwangsa, Kampung Baru, petang semalam.
Mengimbau sejarah tahun 1986 yang menyaksikan protes besar-besaran kaum Cina terhadap MCA, Mohamad Sabu berkata kaum itu tahu menuntut hak mereka yang disalah gunakan.
"Berlaku penyelewengan yang hebat dulunya dalam koperasi pengambilan deposit, ratusan juta wang pelabur dari MCA hilang.
"Maka apa yang berlaku pilihan raya tahun 1986 orang Tiong Hua membuat protes besar-besaran sehingga DAP menang 24 kerusi Parlimen, hampir menawan Pulau Pinang iaitu DAP menang 13 kerusi, kekurangan tiga kerusi lagi untuk memenangi Pulau Pinang.
"Ini dilakukan DAP seorang diri.Masa itu belum ada Barisan Alternatif, belum ada Pakatan Rakyat.
"Ini kerana orang Tiong Hua tahu menilai duit, nilai harga dan apabila berlaku sesuatu mereka protes," katanya di hadapan hampir 100 orang yang hadir.
Sementara itu, Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar menyeru rakyat agar menyokong dan menyertai kelab ini serta memberikan pandangan-pandangan mereka mengenai situasi kenaikan harga barang yang berlaku di negara ini.
"Tujuan penubuhan kelab ini untuk memberi kesedaran kepada rakyat tentang kenaikan harga barang yang tidak pernah berhenti.
"Lajnah Pengguna tidak nafikan kenaikan harga barang ini juga kerana kenaikan harga di peringkat global tapi ianya boleh ditangani jika kerajaan membelanjakan wang rakyat dengan berhemah.
"Jadi saya minta sesiapa yang tidak sokong harga barang naik, sertailah kelab ini. Kalau tak nak sokong maksudnya mereka setujulah harga barang naik,' katanya yang juga Pengerusi Lajnah Pengguna PAS Pusat.
Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat, Siti Zailah Mohd Yusof pula meminta kaum wanita sedar dengan pembaziran yang dilakukan isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansur sedangkan rakyat terpaksa menanggung bebannya.
Antaranya beliau menyentuh mengenai los lawatan Datuk Seri Najib Razak dan Rosmah ke luar negara dari 2008 hingga 2011 sejumlah RM17 juta.
Selain itu kos penganjuran Persidangan Wanita Pertama Dunia yang hanya dihadiri 14 wanita,majoritinya dari Afrika menelan belanja RM4.5 juta.
"Saya percaya kaum wanita sangat terbeban dengan kos kenaikan harga barang khususnya melibatkan barang keperluan asas.
"Tak ada guna jika kita terus berdiam diri dalam pada kerajaan membelanjakan wang rakyat sesuka hati mereka," katanya yang juga ahli Parlimen Rantau Panjang.
Selesai majlis pelancaran, mereka mengedarkan risalah mengenai kenaikan harga barang kepada peniaga dan pengunjung bazar Ramadhan berhampiran.
Protes BN mensasarkan 5,000 ahli menjelang Aidilfitri ini dan akan berterusan sehingga pilihan raya umum ke-13.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan