ZHUKOVSKY: Sebuah hotel di orbit, penerbangan melawat bulan dan perjalanan mewah merentasi angkasa lepas adalah sebahagian daripada rancangan Rusia bagi memastikan negara itu tidak ketinggalan dalam industri pelancongan angkasa yang semakin berkembang.
Syarikat Rusia, Orbital Technologies mendedahkan rancangan itu, minggu ini dengan memperkenalkan pakej perjalanan selama dua hari menaiki roket Soyuz serta penginapan lima hari di hotel angkasa lepas yang bernilai 600,000 pound (RM2.95 juta).
Hotel unik itu akan dibina pada ketinggian 350 kilometer di atas Bumi serta akan dilengkapi kamera dan teropong bagi membolehkan pengunjung mengambil gambar dan melihat persekitaran angkasa lepas dengan lebih jelas.
Menurut wakil syarikat itu, hotel angkasa yang dijangka dilancarkan pada 2016 itu akan dibina lebih selesa berbanding Stesen Angkasa Antarabangsa didiami angkasawan tetapi tetamu tetap perlu mengambil makanan menggunakan tiub dan mandi menggunakan span kerana ketiadaan graviti.
Selain itu, Orbital Technologies juga merancang membawa pelancong melawat kawasan gelap bulan dan menjelang 2030, perjalanan ke planet Marikh pula mungkin diperkenalkan.
-sinarharian-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan