Aziz Muda
KUALA LUMPUR, 10 Sept: Seramai 37 peneroka Felcra Nasaruddin (Belia) di Bota, Perak telah membuat laporan polis berhubung kes penyelewengan pemberian hak milik tanah dan penyelewengan kos pembangunan tanah oleh pihak Felcra terhadap mereka, kelmarin.
Laporan tersebut dibuat di Balai Polis Seri Iskandar dengan diwakili Yusuf Mat, 50, dan ditemani 5 orang rakannya yang lain yang turut menjadi peneroka di kawasan itu.
Menurut Yusuf, Felcra Nasaruddin (Belia) telah diteroka dengan tanaman kelapa sawit dan getah sejak tahun 1973 lalu dan setiap peneroka diberikan 10 ekar tanah oleh Felcra seperti yang tercatit di dalam surat perjanjian.
Katanya, tetapi sehingga kini peneroka tidak mendapat salinan surat perjanjian itu walaupun sudah memohon beberapa kali sehingga ke ibu pejabat Felcra di Kuala Lumpur.
"Sehingga pada bulan Mac 2009 lalu, kami dipaksa menandatangani surat projek tanam semula dan pihak Felcra menjanjikan kepada kami tanah seluas 10 ekar.
"Kemudian pada bulan Julai 2009, kami telah diberi hak milik ke atas tanah itu, tetapi malangnya kami hanya mendapat 7 ekar sahaja daripada tanah itu," katanya menerusi Pengerusi Persatuan Anak-Anak Peneroka Felda (Anak) Lembah Klang yang juga Ketua Penerangan PAS Wilayah Persekutuan, Mohd Nasaie Ismail ketika menghubungi Harakahdaily.
Yusuf yang juga Pengerusi Badan Bertindak Peserta Felcra Perak (Bapa) menjelaskan, mereka amat tidak puas hati terhadap pihak Felcra yang mungkir janji apabila tidak menyerahkan keluasan tanah yang sepatutnya diterima oleh mereka seluas 10 ekar seorang seperti yang dijanjikan dan turut tercatit di dalam surat perjanjian itu.
Katanya, mereka percaya kos pembangunan tanah yang sudah dipotong dari jumlah dividen yang diterima oleh mereka selama ini adalah berdasarkan 10 ekar tanah seperti yang dijanjikan itu dan ia tentunya amat merugikan mereka.
"Kami juga percaya perkara ini adalah satu penipuan dan penyelewengan kuasa apabila surat salinan perjanjian tidak pernah diberikan untuk kami mendapatkan maklumat sebenar berkenaan kedudukan tanah milik kami," ujar beliau.
Turut hadir bersama mereka di Balai Polis Seri Iskandar, Pengerusi Bapa Kebangsaan, Razman Zakaria dan seorang peserta Felcra Jalan Kuncu, Tapah, Perak, Ramli Kanji yang telah menang kes samannya ke atas Felcra baru-baru ini.
Sementara itu, Razman berkata, kes tersebut akan dilaporkan oleh beliau kepada pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam masa terdekat supaya disiasat dan dapat dibawa kemuka pengadilan.
Katanya, para peneroka yang tertindas tidak seharusnya takut untuk bertindak bagi mendapatkan keadilan kerana setiap peneroka mempunyai haknya yang tersendiri seperti yang dijanjikan.
Beliau yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Perak yakin keberanian 37 peneroka Felcra Belia mengatur tindakan awal dengan membuat laporan polis itu ekoran dari kemenangan kes saman peserta Felcra Jalan Kancu, Tapah, Ramli ke atas Felcra baru-baru ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan