Bukan tukar bendera tapi tumbangkan BN

Harakahdaily
KUALA LUMPUR, 19 Sept: PAS menegaskan tiada keperluan untuk menukar bendera negara kerana bendera adalah lambang kedaulatan negara.
Disebabkan itu, sebagai rakyat Malaysia, bendera negara perlu dipertahankan, tidak boleh diperlekehkan dan dipersendakan.

“Isu ini tidak perlu jadi polemik kerana ia tidak akan menjadi dasar Pakatan Rakyat, dan PAS secara tegas tidak akan sesekali menyokong cadangan sedemikian daripada sesiapa pun,” tegas Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man (gambar) sebagai mengulas serangan Umno terhadap kenyataan seorang pemimpin DAP, M Manoharan.

Manoharan, yang juga Adun Kota Alam Shah dalam Twitter beliau baru-baru ini menyatakan akan bertindak menukar design bendera Malaysia sekiranya menang.

Bagaimanapun, beliau telah memadamkan komen tersebut dan memohon maaf secara terbuka atas keterlanjurannya.

Isu utama kini, kata Tuan Ibrahim bukanlah bendera tetapi Barisan Nasional yang memerintah negara.

“Slogan Barisan Nasional, 1Malaysia yang menggunakan lambang bendera Malaysia itu juga bukan isu utama kerana slogan akan sentiasa bertukar.

"Pada zaman Tun Dr Mahathir, berapa banyak slogan yang telah digunakan Barisan Nasional hanya sebagai penyedap kata? Demikian juga zaman Tun Abdullah Badawi dengan Islam Hadharinya dan kini Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dengan dengan promosi 1Malaysia yang hebat, namun tetap gagal memahamkan orang sebijak Tun Dr Mahathir mengenai maksud slogan tersebut sehingga kini, apatah lagi rakyat Malaysia,” kata beliau.

Pesuruhjaya PAS Pahang itu turut menyeru agar semua pimpinan Pakatan Rakyat bekerja keras bagi menumbangkan kerajaan Barisan Nasional akan datang.

“Itulah isu yang harus difokuskan oleh semua pemimpin, anggota, penyokong Pakatan Rakyat dan rakyat yang inginkan pembaharuan dan jaminan masa depan yang lebih baik,” nasihat beliau.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan