Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) telah mengambil tindakan berhubung kes menghina Yang di-Pertuan Agong di lamanweb sosial melibatkan seorang individu yang dikatakan tinggal di Sweden.
Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Rais Yatim berkata SKMM telah berhubung dengan pengendali Facebook dan Twitter untuk memadamkan paparan yang dibuat oleh individu yang menggunakan nama samaran 'Makcik Hajjah Sitt Al-Wuzara'.
Namun, Twitter tidak dapat memenuhi permintaan itu, kata Rais kepada pemberita di ibunegara hari ini.
"Maklumat mengenai keluarganya sudah diperolehi dan telah dikemukakan kepada pihak Peguam Negara Isnin lalu," katanya, sambil menambah identiti individu berkenaan dikenal pasti dengan bantuan pihak berkuasa.
Menteri itu berkata oleh kerana kes itu melibatkan individu yang tinggal di Sweden, dia tidak dapat dibawa pulang ke Malaysia kerana 'berada dalam perlindungan perjalanan antarabangsa'.
Bagaimanapun, Rais berkata SKMM telah berhubung dengan pihak Interpol yang memberi isyarat sedia bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia berhubung kes itu.
Menurutnya individu terbabit berdepan dengan tindakan undang-undang jika dia pulang ke tanah air.
Rais menegaskan tindakan menghasut, memperkecilkan agama atau menghina raja adalah kesalahan besar.
Menteri itu berkata beliau telah memaklumkan perkembangan kes itu kepada Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin dan Seri Paduka telah menzahirkan pandangan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan jemaah menteri.
-Bernama-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan