Aziz Muda
KUALA LUMPUR, 13 Sept: Kerajaan BN diingatkan agar melaksanakan tuntutan 5 perkara yang dikemukakan oleh Pakatan Rakyat jika tidak mahu himpunan aman Bersih 3.0 yang akan mengambil tempatnya.
Tuntutan lima perkara itu bukan sesuatu yang sukar untuk dilaksanakan jika Kerajaan BN benar-benar ikhlas mahu melakukan reformasikan pilihanraya di tanah air, melainkan jika pihak kerajaan hanya sekadar bersandiwara.
Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub menegaskan, sekiranya Kerajaan BN enggan melaksanakan 5 tuntutan itu sebelum pembubaran Parlimen, kerajaan ternyata hanya sekadar bermain-main dengan kenyataan-kenyataannya ke arah itu.
Menurut beliau, oleh itu, Pakatan Rakyat tidak akan teragak-agak untuk mengadakan himpunan Bersih 3.0 bagi mendesak kerajaan melaksanakan tuntutan itu bagi membolehkan pilihanraya di negara ini diadakan dengan bersih dan adil.
Katanya, Kerajaan BN tidak mempunyai sebarang alasan untuk tidak melaksanakan kesemua tuntutan itu kerana pihak kerajaan sendiri masih mempunyai masa yang panjang untuk mengadakan Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13.
"Untuk mengadakan PRU Ke-13, tempohnya sehingga 13 Mac 2013. Jadi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak tidak perlu tergopoh-gapah untuk membubarkan Parlimen untuk membolehkan PRU Ke-13 diadakan dalam masa terdekat," katanya pada sidang media di Pejabat Agung PAS, di sini, hari ini.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian menegaskan, 5 tuntutan Pakatan Rakyat berhubung reformasi pilihanraya itu, pertamanya mendesak Kerajaan BN pimpinan Najib agar melaksanakan 8 tuntutan Bersih.
Kedua berupa desakan agar Kerajaan BN menetapkan tarikh pilihanraya dengan persetujuan atau muafakat bersama dengan Pakatan Rakyat seperti yang dilakukan oleh parti Demokratik Liberal dan Konservetif di United Kingdom (UK).
Ketiga, Jawatankuasa Pemilihan Khas Parlimen yang akan ditubuhkan oleh Kerajaan mestilah diberikan ruang yang selesa ke arah reformasi pilihanraya di negara ini.
Keempat, agenda isu kerakyatan terhadap warganegara asing yang dilakukan oleh Kerajaan BN mestilah dihentikan dengan desakan terhadap Kerajaan BN agar menyediakan satu terma rujukan mengenainya.
Manakala tuntutan kelima berupa desakan Pakatan Rakyat terhadap Kerajaan BN agar menunaikan segala cadangan yang dikemukakan oleh Jawatankuasa Pemilihan Parlimen bagi melakukan reformasi pilihanraya di negara ini.
Sidang media tersebut diadakan bersama dengan ahli-ahli Parlimen Pakatan Rakyat yang diwakili oleh Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar bagi pihak PKR; Ahli Parlimen Rasah, Antony Loke (DAP).
Manakala bagi pihak PAS, selain beliau, turut diwakili Datuk Kamarudin Jaffar (Tumpat), Siti Zailah Mohd Yusuf (Rantau Panjang), Dr Siti Mariah Mahmud (Kota Raja) dan Mohd Firdaus Jaafar (Jerai).
Sementara itu, kesemua ahli-ahli Parlimen yang hadir pada sidang media itu turut bersetuju dengan kenyataan beliau dan masing-masing berharap agar suara rakyat tidak diketepikan oleh Kerajaan BN, bagi membolehkan pilihanraya di negara ini diadakan dengan telus, bersih dan adil.
Pada sidang media itu, mereka juga sebulat suara menegaskan, Pakatan Rakyat bersedia memberikan kerjasama atau khidmat kepada Jawatankuasa Pemilihan Parlimen yang akan ditubuhkan oleh kerajaan sempena persidangan Parlimen mulai 3 Oktober ini, sekiranya Najib boleh berjanji untuk melaksanakan kesemua tuntutan itu sebelum pembubaran Parlimen.
Dalam hubungan ini, mereka berharap agar Najib tidak bersandiwara atau bermain-main dengan kenyataannya untuk melakukan reformasi pilihanraya dengan kesediaannya menubuhkan jawatankuasa tersebut, dengan melaksanakan kesemua cadangan jawatankuasa itu ke arah itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan