Elton John: PAS jangan tiru Taliban, kata Asri

Bekas mufti Perlis Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin menegur desakan dalam PAS untuk menghalang konsert rock Elton John di Pahang pada bulan depan atas alasan penyanyi gay itu menggalakkan maksiat.

Dr Asri berkata, halangan itu tidak perlu dan cukup sekadar meminta kerajaan tidak membenarkan orang Islam menyertainya.

"Lagipun itu diadakan di Genting (Highland), tempat arak dan judi (untuk) non-Muslim," katanya.

Pada 25 Oktober lalu, agensi berita antarabangsa AFP melaporkan seorang pemimpin Pemuda PAS menggesa kerajaan mengharamkan konsert Elton John pada 22 November kerana ia didakwa akan merosakkan akhlak umat Islam.

Ketua Pemuda PAS Pahang Shahril Azman Abdul Halim Al-Hafiz dilapor menegaskan homoseksual haram dalam Islam dan apa yang dilakukan John adalah maksiat.

Bercakap kepada Malaysiakini semalam, Dr Asri menasihatkan parti Islam itu "jangan tiru Taliban", sebalinya mencontohi pendirian Islam yang matang, sederhana dan praktikal.

"Anggaplah konsert itu untuk non-Muslim. Jika itu yang mereka (PAS) mahu," katanya.

Dalam masa yang sama, katanya, masih banyak seminar dan diskusi tentang pemikiran kerajaan Islam modern yang perlu diadakan PAS.

Penyanyi warga British itu secara terbuka mengakui gay dan berkahwin sesama jantina pada 2005 selepas undang-undang Britain membenarkan perkara itu.

Penganjur konsert Tune Live ketika dihubungi AFP enggan mengulasnya.
-malaysiakini-

Tiada ulasan:

Catat Ulasan