Harakahdaily
KUALA LUMPUR, 9 Okt: Kerajaan negeri Kelantan dicadang melantik Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria sebagai pemerhati perlaksanaan hudud di negeri itu.
Cadangan itu dilontarkan Dewan Pemuda PAS Perak ekoran pandangan Harussani yang menasihatkan agar pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak membenarkan undang-undang hudud dilaksanakan di Kelantan.
"Kami bersedia untuk mengadakan pertemuan dengan Tan Sri Harussani untuk menjayakan perlaksanaan Hukum Hudud di Kelantan tersebut.
"Kami juga mencadangkan agar Kerajaan Negeri Kelantan melantik Tan Sri Harussani sebagai pemerhati bagi pelaksanaan Hukum Hudud tersebut," kata Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Perak, Dr Raja Ahmad Al-His.
Menurutnya, pandangan mufti Perak itu amat bertepatan dan seharusnya disokong oleh semua pihak bagi melihat sendiri contoh yang akan dilaksanakan Hukuman Hudud di sana.
"Malah kami yakin pandangan Tan Sri Harussani terhadap Hukum Hudud di Kelantan sudah tentunya ianya berasakan sepertimana yang dijelaskan di dalam Al-Quran itu sendiri," katanya.
Sehubungan itu, mereka menyatakan sokongan penuh terhadap kenyataan Harussani di dalam isu pelaksanaan Hukum Hudud di Kelantan tersebut.
"Malah kami tekankan sekali lagi bahawa kami sanggup bekerjasama dengan siapa sahaja asalkan untuk menjayakan perlaksanan Islam dan bukan seperti Umno yang bertarik tali dengan MCA di dalam isu Hukum Hudud ini," tegasnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan