PAS mahu Putrajaya batal dasar guru kerja 9 jam sehari

Idris berkata guru-guru kini terpaksa memainkan pelbagai peranan selain daripada mengajar. — Foto Reuters

KUALA LUMPUR, 13 Nov: PAS, komponen Pakatan Rakyat hari ini menggesa Kementerian Pelajaran mengkaji semula projek perintis guru-guru bertugas selama sembilan jam sehari yang akan dilaksanakan di empat negeri mulai Januari ini.

Ahli jawatankuasa kerja PAS Idris Ahmad berkata, tindakan itu tidak wajar memandangkan guru memang sedia terbeban pada masa ini termasuk tugasan selain mengajar.
“Rasional apakah guru-guru terpaksa bekerja selama sembilan jam? Sebenarnya guru-guru di Malaysia sudah sedia terbeban, bukan sahaja pembelajaran dan pengajaran.
“Malahan guru sudah menjadi tenaga kerja pelbagai tujuan kerana semua perkara guru terpaksa melakukan. Guru juga pemandu ambulans jika pelajar sakit, menjadi polis trafik ketika pelajar keluar sekolah, pengawal disiplin, pegawai kewangan kalau ia guru kelas, menjadi kerani untuk masuk markah,” kata beliau dipetik Harakahdaily.
Semalam, Timbalan Menteri Pelajaran Datuk Dr Wee Ka Siong menasihatkan para guru agar tidak “panic” dengan projek rintis sistem bekerja sembilan jam Kementerian Pelajaran.
Projek itu yang akan dilaksanakan mulai Januari 2012 di empat negeri — Melaka, Sarawak, Pahang dan Johor berasaskan satu kajian di Melaka Tengah yang mengenal pasti tempoh bekerja yang ideal bagi guru.
Laporan media menyebut kira-kira 5,000 guru dari hampir 104 sekolah di seluruh negara akan menjadi perintis kepada sistem waktu bekerja sembilan jam mulai Januari depan.
Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) Hashim Adnan berkata, pihaknya berpendapat bahawa waktu bekerja tersebut tidak sesuai diamalkan di sekolah.
Mengulas lanjut, Idris berkata Kementerian Pelajaran sepatutnya mencari jalan untuk menyenangkan guru-guru supaya mereka berada di zon selesa, kerana di tangan mereka yang akan melahirkan modal insan yang berguna untuk masa akan datang.
“Mungkin ada orang cemburu kerana guru banyak mendapat cuti berbanding dengan mereka yang berada di pejabat.
“Tetapi perlu diingat tugas guru bukan sahaja di sekolah, malahan kerja mereka berterusan sehingga balik ke rumah. Kerana kerja latihan pelajar perlu diperiksa, persiapan mengajar perlu dibuat,” kata beliau sambil menambah, “budaya ini berlainan dengan mereka yang bekerja di pejabat, selesai sahaja waktu pejabat ia tidak perlu dibawa balik ke rumah.”
Kerajaan tegas beliau, perlu memperbanyakkan kemudahan dan membina banyak sekolah supaya mengurangkan bilangan pelajar di dalam sebuah kelas.
Banyak sekolah pada hari ini kata Idris, dibina lebih 20 tahun dahulu dan sudah tidak mampu menampung pertambahan penduduk di sekitarnya sehingga suasana di dalam bilik kelas tidak lagi ada keselesaan kerana bilangan pelajar yanga begitu ramai.
-malaysianinsider-

Tiada ulasan:

Catat Ulasan