Harakahdaily
“Ah Boo dan Ah Tian saja yang menjadi rakan saya bermain bola. Ramai lagi rakan-rakan Cina yang lain. Hubungan saya dengan Ah Boo lebih kurang sama saja dengan yang lain-lain. Ah Boo dan Ah Tian itu mudah saya ingat kerana mereka anak dan adik Chin Peng. Saya berkawan dan berkenalan dengan mereka semasa sama-sama di padang bola semasa menunggu kelas sesi sebelah pagi selesai.”
MEMOIR, Politik Kewartawanan, yang diberikan judul ANAK APAK, membentangkan pengalaman hidup dan pahit getir penulis sebagai anak keturunan Jawa di tengah-tengah masyarakat Melayu kampung ketika mula mengenal dunia dalam kesengsaraan musim Jepun melanda Tanah Melayu.
ANAK APAK merakamkan perjalanan hidup saya sejak kanak-kanak hingga memasuki alam pekerjaan. Bahagian ini meliputi latar belakang keturunan Apak, anak seorang pendatang Jawa yang tidak diketahui asal usulnya di Tanah Jawa tetapi menjadi pelindung pendatang Jawa di desa kediamannya di Sungai Parit, Sitiawan. Ayahnya tidak merancang persekolahannya tetapi Apak memilih dan menghabiskan masa kanak-kanak dan remajanya mendalami pengajian Islam di sekolah pondok, iaitu di Madrasah Masriyah Bukit Mertajam dan menyambung pengajiannya di luar negeri, iaitu di India dan di Mekah hingga keluar sebagai seorang alim bergelar Tok Guru dalam masyarakatnya di Dinding yang sekarang dikenali sebagai Manjung.
Apak mahu mendidik dan menyekolahkan saya sepertinya dan kemudian keluar sebagai ahli ilmu agama mengikut jejaknya menjadi Tok Guru kepada masyarakat dan ummah. Tetapi saya tidak menjadi Tok Guru seperti Apak. Ada sebabnya; kejatuhan ekonomi, sawah tidak menjadi, getah yang menjadi sumber kemakmuran rakyat tiba-tiba tidak berharga lantaran Perang Korea yang berlaku pada awal tahun 50-an.
Tidak pernah saya terfikir untuk menjadi seorang wartawan. Keadaan menyebabkan saya tidak menjalani persekolahan seperti Apak. Selepas tamat sekolah, saya diterima menjadi wartawan di Utusan Melayu dan sepanjang hidup saya, sekalipun tidak lagi menjadi orang surat khabar yang aktif sejak tahun 1990-an namun saya tetap dikenali sebagai wartawan dan penulis yang menyumbangkan tulisan di akhbar dari minggu ke minggu untuk tatapan ummah. Saya terdedah dengan alam politik sejak zaman kanakkanak dan boleh memahami politik sejak remaja, tetapi tidak pernah bercadang untuk menjadi orang politik. Pada saya ketika itu, adalah lebih senang hidup sebagai orang yang memahami politik tetapi tidak terlibat dalam sebarang aktiviti politik supaya kita disenangi oleh semua dan dapat diterima oleh semua. Akan tetapi kekalahan teruk PAS di Kelantan pada hujung tahun 70-an sesudah berkuasa sejak tahun 1959 menyebabkan saya terasa seolah-olah demokrasi seperti akan berakhir di Malaysia.
Demokrasi mesti diteruskan. “Tidak wajar dalam dunia ini ada insan yang berkecuali. Manusia itu mesti memihak kepada kebenaran. Manusia hanya dibenarkan berkecuali ketika tidak mengetahui asal-usul sesuatu isu. Orang berotak tidak wajar kekal dalam keadaan tidak tahu. Dia mesti keluar dari alam tidak tahu. Sesudah mengetahui, dia tidak lagi boleh berkecuali. Dia mesti di pihak yang benar.”
Jilid satu MEMOIR tentang ANAK APAK ini berakhir setakat saya mula melangkah ke alam pekerjaan. Anak Apak meliputi hikayat kehidupan dan ingatan alam kehidupan saya pada zaman kanak-kanak, persekolahan dan remaja. Moga-moga saya diberi kekuatan untuk menyiapkan jilid-jilid berikut mengenai alam kewartawanan dan alam politik. Insya-Allah.
Semoga Memoir ANAK APAK ini dapat memenuhi maksud sebuah penulisan buku berbentuk memoir dan dapat memberikan perkhidmatan dalam bidang penulisan memoir dalam persuratan Melayu untuk tatapan masyarakat. Tiada apa-apa yang dapat saya tinggalkan kepada masyarakat melainkan Memoir ini.
ANAK APAK adalah terbitan Kemilau Publika Sd Bhd yang terbaru. Sila lawati www.kemilau.net.my atau menelefon 03-6038 8314 untuk pertanyaan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan