SHAH ALAM: Timbalan Pesuruhjaya Pas Selangor, Khalid Samad berkata, pihaknya telah diberi "kemampuan" oleh ALLAH untuk menyahparasit, yang menurutnya secara perlahan-perlahan telah merosakkan parti Islam itu.
Dengan perkembangan itu, kata beliau, parasit sudah pun dinyahkan dan Pas akan mara ke hadadan bagi memenuhi kehendak rakyat dan umat Islam untuk menggantikan Umno dengan menjadi wadah politik umat Islam yang utama di negara Malaysia.
Tanpa menamakan mana-mana pihak dan individu dalam entri terbaru blognya, Khalid yang juga Ahli Parlimen Shah Alam berkata, kedengaran juga ada pihak yang ingin membuat 'road-show' ke seluruh negara.
"Bagi saya itu adalah hak dia dan lagi banyak dia cakap, lagi jelas pendiriannya yang dangkal.
"Hanya dia perlu ingat, kesalahannya kali ini bukan kesalahan kali pertama. Dulu dia pernah ditegur dan sudah pun diberi amaran," katanya sambil menambah, "kali ini dia lajak lebih jauh lagi, maka dan bagi yang menganggap pemecatan beliau agak drastik; perlu diberi amaran dulu dan sebagainya, harap ingat kembali peristiwa lampau."
Tulisan beliau merujuk kepada tindakan susulan bekas Pesuruhjaya Pas Selangor Datuk Dr Hasan Mohamed Ali.
Pas memutuskan untuk memecat Hasan sebagai ahlinya pada 8 Januari lalu.
Ekoran perkembangan itu, Hasan mendedahkan wujud parasit dalam Pas tetapi hanya mahu mendedahkan kumpulan itu, yang didakwanya telah memesongkan parti itu daripada landasan perjuangan Islam dalam waktu terdekat menerusi program jelajah ke seluruh negara.
Kata Hasan, kumpulan berkenaan menduduki jawatan penting dalam parti dan antara lainnya telah berjaya mengubah hala tuju Pas termasuk dalam isu pemecatan beliau daripada parti itu.
Menurutnya, kumpulan berkenaan mempunyai hubungan dengan pergerakan Islam tertentu dan sebahagian mereka bergerak cergas di luar negara sebelum ini sebagai pelajar.
Khalid, Ketua Pas kawasan Shah Alam dan ahli jawatankuasa kerja Pas pusat berkata, kemungkinan pihak yang mendakwa wujud parasit akan mencanangkan bahawa dirinya dipecat kerana Ketua Umum Pakatan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
"Itu jelas satu pembohongan. Dia dipecat kerana sikap dirinya sendiri.
"Semasa road-show boleh cakap apa yang dia suka, reka cerita dan sebagainya, tapi semua tahu, dia dipecat kerana sikapnya.
"Sikapnya yang tidak mahu terima pendirian parti dan kesungguhannya membawa mesej Umno-BN untuk mempengaruhi ahli Pas dan rakyat jelata," katanya lagi.
Khalid seterusnya menulis bahawa "dulu dia juga yang menjadi juara wala’ dan thiqah. Tetapi itu hanya ketika dia sebagai ketua."
"Semua kena dengar cakap dia. Kalau tidak, maka tidak wala’, tidak thiqah serta tidak cukup tarbiyah dan sebagainya.
"Tetapi apabila dirinya bukan ketua, nampak gayanya konsep tersebut tidak lagi releven," katanya.
Beliau menambah, mungkin itu yang berlaku apabila dikuasai hawa nafsu, terlalu membesarkan diri dengan beranggapan bahawa dirinya sahaja yang betul dan yang lain semuanya bagaikan parasit.
"Parasit ini sebenarnya hidup di atas kekuatan yang lain dan secara perlahan merosakkan pihak yang menanggungnya.
"Itulah apa yang ingin dilakukan. Tetapi, Alhamdulillah, ALLAH sayangkan Pas dan memberi Pas kemampuan untuk ‘nyahparasit’ dan inilah yang telah berlaku," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan