Peneroka nekad tebang sendiri pokok getah

Peneroka Di Jempol Keywords: JEMPOL:  Kecewa dengan  pengurusan Felda, 106 peneroka Felda Raja Alias 3 hari ini mengambil keputusan menebang  sendiri  pokok getah tanpa bantuan Felda.
JEMPOL: Kecewa dengan pengurusan Felda, 106 peneroka Felda Raja Alias 3 hari ini mengambil keputusan menebang sendiri pokok getah tanpa bantuan Felda.

Setiausaha Gerakan Kebangkitan Peneroka Felda Kebangsaan (Bangkit), Yaakob Mahmood yang mewakili 106 peneroka terbabit berkata akibat menunggu hampir dua tahun, pihaknya kini sudah mencari syarikat yang bersedia untuk menebang pokok getah dan membeli kayu getah berkenaan.

Selepas mendapat sebut harga dari beberapa syarikat, akhirnya kita mendapat harga terbaik dari sebuah syarikat pada RM9,800 setiap satu ekar.
“Kita bukan jual kebun, tetapi jual kayu pokok getah. Jika semua persiapan berjalan lancer proses penebangan pokok getah ini akan dilakukan pada bulan Januari depan.

“Selepas mesyuarat, 106 peneroka ini sebulat suara setuju menguruskan penebangan pokok getah dan menjual kayu getah dengan inisiatif sendiri tanpa bergantung kepada Felda.

“Kita ada bukti hitam putih persetujuan daripada syarikat terbabit untuk melaksanakan proses penebangan pokok getah tersebut”, kata Yaakob dalam sidang media hari ini.

Wakili semua peneroka

Menurut Yaakob keseluruhan peneroka tanah rancangan ini adalah 259 peneroka dan terpulang kepada mereka untuk sertai kami atau pun tidak kerana kita mewakili semua peneroka tanpa mengira parti.

“ Setelah semua proses ini selesai, dijangka pada bulan Jun depan akan bermula proses tanam semula di kebun masing-masing.

“Saya mendesak Felda memberi kebebasan dan hak kepada peneroka terbabit untuk memilih tender mana yang lebih sesuai yang menawarkan keuntungan yang lebih besar kepada mereka.

“Saya berharap Felda memberikan segera surat kebenaran untuk tujuan tersebut dan tidak menafikan hak peneroka”, tegas Yaakob lagi.

Turut hadir di dalam sidang media tersebut ialah Timbalan Setiausaha Agung PKR, T Kumar; Yang DiPertua PAS Jempol, Abdul Rahman Ramli dan Ketua Cabang PKR Jempol, Karip Mohd Salleh.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan